KITA hidup dalam era dunia nyata dan maya semakin cair. Menurut laporan Digital 2025 oleh DataReportal, remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun menghabiskan purata enam jam sehari di media sosial.
Platform seperti TikTok dan YouTube menjadi ruang pembelajaran tidak formal yang membentuk cara mereka mencintai, berkonflik, beremosi dan menyelesaikan masalah.
Ironinya, kandungan yang popular kerap dipenuhi naratif cinta obsesif, cemburu toksik dan penyelesaian masalah melalui kekerasan.
Teori Desensitisasi oleh George Gerbner menjelaskan pendedahan berulang terhadap keganasan menjadikan individu kurang sensitif terhadap penderitaan orang lain. Kajian mendapati remaja yang terdedah kepada kandungan agresif mempunyai 31 peratus lebih tinggi risiko meniru tingkah laku ganas berbanding mereka yang menonton kandungan neutral.
Namun, ini hanya simptom. Teori Ekologi Media Marshall McLuhan menekankan media bukan sekadar alat penyampai mesej tetapi membentuk cara manusia berfikir dan melihat realiti. Dalam ekosistem digital masa kini, pengalaman emosi remaja dibentuk oleh algoritma, bukan interaksi manusia sebenar.
Budaya ship dan kinning di media sosial memperlihatkan remaja membentuk identiti berdasarkan watak fiksyen, menjadikan realiti emosi mereka terpesong. Ketika cinta sebenar tidak seindah skrip digital, mereka gagal menapis kekecewaan secara sihat. Tragedi bunuh akibat cinta ditolak bukan kegagalan individu semata-mata tetapi hasil daripada ekologi emosi digital yang mempengaruhi remaja hari ini.
Fenomena ini semakin membimbangkan. Kajian NIOSH (2024) mendapati 48 perastus remaja menunjukkan tanda tekanan emosi akibat media digital berlebihan, sementara Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) (2023) menganggarkan hampir 60 peratus remaja Malaysia mengalami simptom depresi ringan hingga sederhana yang berkait dengan keletihan media sosial.
Ketagihan kepada kandungan yang merangsang emosi mencipta kitaran kebergantungan dopamin di mana ‘suka’ dan ‘jumlah tontonan’ menggantikan kestabilan emosi sebenar.
Masalahnya bukan sekadar kandungan tetapi tafsiran remaja terhadapnya. Tanpa literasi media, mereka gagal membezakan ekspresi kreatif dan norma sosial. Di sinilah peranan keluarga dan sekolah kritikal.
Literasi media harus melatih remaja memahami kesan psikologi dan nilai yang diserap melalui paparan digital. Negara seperti Finland dan Korea Selatan menjadikan literasi media komponen wajib kurikulum kerana memahami kebijaksanaan digital adalah perlindungan sosial moden.
Di Malaysia, usaha ini masih kosmetik. Kempen literasi media wujud tetapi impaknya terhad kerana lebih kepada kesedaran, bukan pembangunan kompetensi sebenar. Ibu bapa sering menganggap anak diam dengan telefon sebagai tanda patuh, sedangkan diam itu mungkin tanda keterasingan.
Dunia digital menjadi ‘ibu bapa kedua’, menyerahkan pendidikan emosi kepada algoritma yang menilai penglibatan, bukan moral.
Kerajaan perlu memperkukuh dasar literasi media progresif, membina daya kritis remaja dan memantau platform digital. Media bukan sahaja membentuk minda sebaliknya juga mampu membina empati.
Tragedi seorang pelajar tidak wajar menjadi bahan sensasi tetapi detik introspeksi nasional. Media harus menjadi alat pendidikan sosial, membentuk generasi celik digital dan celik nilai. Masa hadapan bangsa bergantung kepada apa yang anak-anak lihat hari ini.-UTUSAN
NURUL HAWA UMAIRAH FAIZAL & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau










