GSF perjuangan nyata, bukan drama media

GSF perjuangan nyata, bukan drama media

GLOBAL Sumud Flotilla (GSF) bukan sahaja memastikan isu Palestin tetap segar dalam kesedaran dunia tetapi juga menyatukan umat Islam dan masyarakat antarabangsa menentang kezaliman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI kemanusiaan yang berterusan di Palestin, khususnya Gaza menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk bertindak menyampaikan bantuan secara langsung. Antaranya, gerakan yang muncul sebagai benteng rohani dan fizikal bagi rakyat Palestin ialah Global Sumud Flotilla (GSF).

GSF adalah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia yang menyatakan solidariti terhadap Palestin melalui misi kemanusiaan menggunakan jalan laut. Konvoi ini menghimpunkan kapal-kapal kecil dan sederhana, membawa kargo bantuan seperti makanan, ubat dan peralatan perubatan, serta melatih sukarelawan menghadapi operasi di laut terbuka. Mereka juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan ditahan tentera Israel.

Teras perjuangan GSF boleh difahami melalui dua slogan utama: Break the silence (Memecahkan kesunyian) dan Break the siege (Memecahkan sekatan).

Slogan pertama bertujuan mengembalikan suara solidariti global yang kian sunyi, melalui penyebaran kesedaran di media sosial dan penglibatan pempengaruh. Hasilnya, isu Palestin kembali hangat dibicarakan di seluruh dunia. Slogan kedua pula menuntut tindakan nyata untuk memecahkan sekatan fizikal ke atas Gaza, yang menafikan bantuan asas seperti makanan dan ubatan.

Walaupun misi GSF kali ini belum mencapai matlamat fizikalnya sepenuhnya, kegagalan itu bukan bermaksud sia-sia. Ia membuktikan kezaliman rejim Zionis wujud dan mereka gentar terhadap konvoi aman yang membawa bantuan kemanusiaan, bukan senjata. GSF bukan sahaja memastikan isu Palestin tetap segar dalam kesedaran dunia tetapi juga menyatukan umat Islam dan masyarakat antarabangsa menentang kezaliman.

Kritikan GSF sekadar simbolik adalah pandangan sempit. Sejarah umat Islam mengajar kemenangan tidak semestinya diukur melalui menawan wilayah tetapi melalui keberanian memegang kebenaran walau dalam kekalahan. GSF menzahirkan prinsip Sumud melalui ketabahan, persaudaraan dan semangat perjuangan yang hidup.

Pelayaran ini menjadi manifestasi selagi ada suara menuntut keadilan, perjuangan Palestin akan terus berdenyut.-UTUSAN

AHMAD NAJMUDDIN HAFIDZ MOHAMAD ROSLAN
Jabatan Akidah & Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×