Terdapat keperluan Lemon Law diintegrasikan melalui pindaan Akta 599

Terdapat keperluan Lemon Law diintegrasikan melalui pindaan Akta 599

ARMIZAN MOHD. ALI - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka perundangan khusus seperti Lemon Law bagi menangani isu dan kekangan perlindungan pengguna dalam industri automotif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, dapatan itu adalah hasil Kajian Perundangan Berkaitan Lemon Law yang dilaksanakan selama enam bulan bermula Jun hingga November 2024 bagi menilai langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempertingkatkan perlindungan pengguna.

Katanya, walaupun Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) telah menyediakan mekanisme tebus rugi dan penyelesaian pertikaian yang selaras dengan prinsip asas Lemon Law, KPDN berpendapat adalah wajar untuk prinsip perundangan tersebut diintegrasikan melalui pindaan terhadap Akta 599.

“Pendekatan itu bertujuan memperkukuh peruntukan sedia ada serta mewujudkan peraturan baharu yang menetapkan prosedur penyelesaian pertikaian lebih terperinci khususnya bagi tuntutan tebus rugi melibatkan kenderaan baharu,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohd. Jan (PN–Permatang Pauh) yang meminta penjelasan bilakah kerajaan akan menggubal undang-undang Lemon Law bagi melindungi pengguna daripada pembelian kenderaan rosak serta bentuk tindakan terhadap pihak yang mengambil kesempatan ke atas pembeli.

Menurut beliau, kaedah ini dilihat lebih praktikal dan berkesan kerana kerangka perundangan sedia ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa perlu mewujudkan undang-undang baharu secara berasingan.

“Ketika ini KPDN berada di peringkat penyediaan Kertas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan susulan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×