PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memperkasakan hak pengguna untuk menuntut tebus rugi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebaik kajian tersebut selesai satu keputusan dasar di peringkat kementeriannya akan dibuat sebelum penambahbaikan rangka kerja perundangan dilaksanakan.
“KPDN akan melaksanakan satu kajian kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memperkasakan hak pengguna untuk menuntut tebus rugi sekiranya mereka menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti atau prestasi seperti yang dijanjikan oleh pembekal dan tidak dapat dibaiki atau dibetulkan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta Armizan menyatakan pertimbangan semasa kementeriannya dalam menggubal Lemon Law terhadap industri automotif bagi melindungi hak pengguna.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, kepentingan hak pengguna di negara ini sudah diambil kira dengan jaminan untuk memperoleh barangan dengan kualiti yang munasabah dan hak untuk menebus rugi sekiranya barangan tidak mematuhi gerenti melalui peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).
“Di Malaysia, peruntukan perundangan berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan yang dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang ditetapkan telah termaktub dalam Akta 599 di bawah kawal selia KPDN.
“Peruntukan di bawah Akta 599 yang berkaitan perkara ini adalah Bahagian V iaitu gerenti berkenaan Dengan Pembekalan Baran dan Bahagian VI (hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti dalam pembekalan barang)
“Selain itu, Bahagian VII iaitu hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti dalam pembekalan,” jelasnya.- UTUSAN








