HONG KONG: Sekurang-kurangnya 94 orang maut manakala ramai lagi hilang akibat kebakaran kompleks pangsapuri lapan blok di Wang Fuk Court, daerah Tai Po.
Kebakaran itu sudah hampir dipadamkan, namun pasukan penyelamat masih meneliti bangunan bagi mencari mangsa hilang.
Seramai 76 orang cedera, termasuk 11 anggota bomba, dan sekurang-kurangnya 12 mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Pegawai hospital menyifatkan keadaan 28 lagi sebagai serius. Pemimpin bandar, John Lee, sebelum ini memaklumkan 279 orang masih tidak dapat dikesan.
Penduduk berkata, mereka tidak terdengar sebarang penggera kebakaran dan terpaksa mengetuk pintu jiran untuk memberi amaran.
“Kebakaran merebak dengan sangat cepat. Saya rasa usaha menyelamat terlalu lambat,” kata seorang penduduk. Bomba terus menyiram bangunan bagi menyejukkan struktur dan menghalang bara daripada menyala semula.
Punca kebakaran sedang disiasat, termasuk kerja pembaikan besar yang melibatkan perancah buluh dan jaring plastik.
Polis menahan tiga lelaki atas syak wasangka cuai meninggalkan bahan pembungkusan buih di lokasi kebakaran. Badan antirasuah Hong Kong turut melancarkan siasatan terhadap kerja pembaikan di kompleks berkenaan.
Kerajaan Hong Kong mengumumkan penubuhan dana HK$300 juta (AS$38.5 juta) bagi membantu mangsa kebakaran.
Sembilan pusat perlindungan dibuka dan penginapan sementara serta bantuan kecemasan disediakan kepada mereka yang kehilangan rumah. Aktiviti berkaitan pilihan raya perundangan 7 Disember turut digantung sementara.










