Sofia Rini Buyong wanita utama dalam dakwaan rasuah Shamsul Iskandar

Sofia Rini Buyong wanita utama dalam dakwaan rasuah Shamsul Iskandar

SOFIA Rini Buyong individu muncul dalam klip video perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei. GAMBAR INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang wanita dipanggil untuk memberi ke­terangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wanita itu yang dikenali sebagai Sofia Rini Buyong adalah individu yang muncul dalam klip video perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei yang tersebar di media sosial.

Sofia hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 2.30 petang semalam bersama peguamnya, Shugan Raman bagi memberikan keterangan.

Shamsul Iskandar pula di­arah hadir hari ini kerana berada di Kota Kinabalu sementara Albert Tei akan dipanggil pada 1 Di­sember ini setelah memohon pe­nangguhan ekoran masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata, kertas siasatan dibuka susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Albert Tei memberi wang rasuah kepada Shamsul ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha politik kanan.

“Setakat ini, kita memanggil tiga saksi. Pertama, seorang wanita dikenali Sofia. Kedua, Shamsul akan hadir esok (hari ini), manakala Albert Tei pada 1 Disember,” kata beliau.

Beliau juga mengarahkan pegawai menyelesaikan siasatan dalam tempoh dua minggu kerana kes ini dianggap serius.

Baru-baru ini, Sofia menerusi satu video menafikan dakwaan beliau bertindak sebagai proksi kepada Shamsul Iskandar.

Beliau juga menolak tuduhan wujud arahan daripada dirinya atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Albert Tei untuk merakam perbualan beberapa ahli politik Sabah.

“Saya bukan proksi kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar dan tidak pernah berjumpa atau mengadakan sebarang perbincangan dengan PM berhubung dakwaan dibuat Albert,” jelas Sofia.

Beliau turut menafikan sebarang perbincangan dengan Shamsul mengenai tindakan Albert Tei berkaitan proses permohonan lesen perlombongan.

Kelmarin, Shamsul Iskandar menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri dan telah diterima oleh Anwar sambil menegaskan, SPRM bebas menjalankan siasatan.

Sebelum ini, media me­laporkan pendedahan Albert Tei yang mendakwa menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul bagi mendapatkan kembali wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN