PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) melaporkan pertumbuhan untung bersih sebanyak RM1.09 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 September 2025, berbanding RM1.089 bilion bagi suku sama tahun sebelumnya.
Bagi suku yang sama, bank mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM1.685 bilion, disokong oleh pengembangan portfolio pembiayaan dan pendapatan bukan faedah yang berterusan.
Pendapatan faedah bersih meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.27 bilion, memandangkan asas pinjaman yang lebih tinggi mengimbangi kesan pemampatan margin faedah bersih (NIM).
NIM untuk suku pertama adalah 1.84 peratus, lebih rendah sebanyak lapan mata asas tahun ke tahun atau enam mata asas suku ke suku, terutamanya disebabkan oleh perbezaan masa dalam penetapan semula harga untuk pinjaman dan deposit susulan pemotongan Kadar Dasar Semalam (OPR).
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, pihaknya memulakan tahun kewangan baharu dengan menunjukkan daya tahan di tengah-tengah cabaran daripada ketidakpastian global yang berterusan.
Katanya, pelaksanaan Pelan Transformasi Tiga hingga Lima Tahun telah menghasilkan keputusan yang menggalakkan pada suku pertama, didorong oleh pengembangan berterusan dalam pembiayaan, sumbangan pendapatan bukan faedah yang kukuh dan kualiti aset yang kukuh.
“Keuntungan operasi kami sebelum sumbangan syarikat bersekutu mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.04 bilion untuk suku pertama.
“Ini dicapai meskipun terdapat jangkaan penurunan margin faedah bersih susulan pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025, menunjukkan keupayaan kami untuk mengurus keuntungan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, trajektori menaik dalam perniagaan teras bank disokong oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan kasar, yang berkembang 9.1 peratus tahun ke tahun.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kereta, perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial kami, sambil mengekalkan kualiti aset yang kukuh,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hong Leong Financial Group Berhad (HLFG) pula mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATAMI) sebanyak RM841.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 September 2025.
Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan keuntungan operasi teras sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun dan disederhanakan oleh sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu.
Sementara itu, Hong Leong Capital Berhad (HLCB) pula melaporkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM18.9 juta pada suku pertama stahun kewangan 2026 berakhir 30 September 2025, menandakan peningkatan 15 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik daripada bahagian perbankan pelaburan dan pulangan yang lebih baik daripada pelaburan ekuiti syarikat.
Nilai buku sesaham menurun kepada RM4.30 pada 30 September 2025 daripada RM4.41 pada 30 Jun 2025 selepas mengambil kira dividen akhir yang diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. – UTUSAN










