Polis tidak tolak kemungkinan suspek serang Haresh salah sasaran

Polis tidak tolak kemungkinan suspek serang Haresh salah sasaran

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menyerang seorang wartawan sukan kelmarin telah tersalah sasaran.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati serangan terhadap individu terbabit dipercayai berunsur peribadi akibat gangguan terhadap isteri suspek. 

Bagaimanapun, katanya, pihak polis sedang melihat semua keterangan yang diambil.

“Ia (motif) seperti ada gangguan terhadap isteri dia (suspek) jadi lebih kepada peribadi namun nampak macam salah sasaran pun ada kerana dia mahu pukul yang kacau isterinya tetapi salah orang. 

“Bagaimanapun, semua ini kita bandingkan dengan semua keterangan dan siasatan masih dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti ‘Disiplin Terjaga, Generasi Terbina’ Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH, hari ini.

Menurut Fadil, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Tangkapan setakat ini membabitkan seorang individu yang kini direman. Namun kita akan angkat kepada AGC dan kemukakan cadangan untuk tuduh,” katanya. 

Terdahulu, wartawan itu, Haresh Deol menolak dakwaan polis bahawa serangan terhadapnya pada 25 November lalu didorong oleh isu peribadi.

“Saya ingin bertanya, isu peribadi siapa di sini? Saya tegaskan saya tiada isu peribadi dengan sesiapa.

“Apa isu peribadi suspek dengan saya? Sebagai wartawan, sepatutnya saya menulis berita, bukan jadi tajuk berita,” katanya dalam satu episod audio siar.

Media semalam melaporkan polis menahan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 37 tahun  dipercayai terbabit dalam kejadian serangan ke atas wartawan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, suspek dibenarkan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×