KUALA LUMPUR: Tiga lelaki sedang dikesan polis kerana disyaki menyerang dan memukul wartawan sukan, Haresh Deol sehingga cedera dalam kejadian di ibu negara, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, satu laporan polis diterima.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kes terbabit melibatkan tiga suspek mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan wartawan sukan.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan (luka) pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek masih belum dikenal pasti, namun tindakan mengesan individu terlibat sedang dijalankan.
Katanya, pegawai penyiasat akan memohon Perintah OTI daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian yang berlaku boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd. Adnan Alias di talian 0192162272. – UTUSAN









