Eksport minyak sawit Malaysia ke China jatuh hampir 39 peratus 

Eksport minyak sawit Malaysia ke China jatuh hampir 39 peratus 

JOHARI Abdul Ghani (tengah) berucap pada Dialog Industri Lawatan Rangkaian Perdagangan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eksport minyak sawit Malaysia ke China turun hampir 39 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, didorong oleh persaingan harga minyak kacang soya yang lebih rendah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, satu daripada sebabnya adalah kenaikan harga minyak sawit yang kini melebihi harga minyak kacang soya, menjadikan minyak kacang soya sebagai pilihan utama pengguna di China.

“Untuk pertama kalinya, harga minyak sawit kita meningkat dan lebih mahal daripada minyak kacang soya.

“Untuk China, minyak kacang soya juga merupakan salah satu minyak makan yang diimport demi kepentingan rakyat dan industri mereka,” katanya kepada pemberita pada Dialog Industri Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama pembeli dari China.

Sementara itu, Johari berkata, sesi dialog ini berperanan sebagai platform yang baik untuk pemain industri berinteraksi secara terbuka dan memahami perspektif masing-masing.

Katanya, ini dapat membantu mengukuhkan kepercayaan jangka panjang serta memastikan dasar dan tindakan sentiasa selaras dengan realiti pasaran.

Beliau menambah, China telah lama menjadi salah satu pasaran yang paling penting dan strategik bagi Malaysia.

“China secara konsisten berada dalam kalangan destinasi eksport utama Malaysia untuk minyak sawit selama lebih satu dekad.

“Bagaimanapun, eksport kita ke China telah menurun hampir 39 peratus dalam tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini. Penurunan mendadak ini menunjukkan cabaran yang lebih mendalam bukan sahaja berkaitan dengan daya saing dan logistik, tetapi juga dinamika harga dan kedudukan pasaran.

“Tujuan dialog ini adalah untuk memahami dengan jelas bagaimana Malaysia boleh memulihkan daya saingnya dan mengekalkan kedudukan lama di pasaran China,” katanya. 

Beliau berkata, seperti yang diketengahkan, kumpulan ini secara kolektif menyumbang kira-kira 2.5 juta tan keperluan minyak sawit China.

“Perspektif anda amat penting dalam membentuk bagaimana Malaysia mengukuhkan daya saing pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus mengekalkan dasar eksport yang telus dan boleh diramalkan bagi memastikan tindakan tidak mengganggu kepentingan rakan dagang utamanya.

“Kami juga mengalu-alukan dialog berterusan untuk lebih menyelaraskan jangkaan mengenai trend harga, perkembangan pasaran dan perancangan bekalan jangka panjang,” katanya. 

MPOC telah menganjurkan lawatan jaringan perdagangan untuk 37 pembeli dari China dari 25 hingga 27 November 2025.

Mewakili sektor makanan dan bukan makanan utama di seluruh China, delegasi ini mengambil bahagian dalam siri penglibatan yang bertujuan untuk mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia dan memperkukuh keyakinan terhadap rantaian bekalan minyak sawit Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×