PETALING JAYA: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd mengaktifkan pakej bantuan banjir komprehensif bagi membantu pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kakitangan bank yang terjejas akibat bencana alam baru-baru ini.
CIMB berkata, Pelan Bantuan Banjir CIMB yang digerakkan segera itu merangkumi lima komponen utama dengan fokus kepada bantuan kecemasan, pemulihan perniagaan dan pengukuhan daya tahan jangka panjang.
Katanya, bahagian pertama melibatkan sokongan pembiayaan untuk pemilik perniagaan, termasuk kemudahan bantuan bencana yang dipertingkatkan melalui Kemudahan Bantuan dan Penyesuaian (RAFt) dengan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan pencegahan serta penyesuaian risiko banjir.
“RAFt bertujuan membantu PKS melalui penilaian risiko banjir, pemindahan operasi ke kawasan risiko rendah (tidak termasuk pembelian tanah atau hartanah), kerja-kerja penyesuaian banjir, penyelenggaraan penyelesaian berkaitan serta perlindungan insurans dan takaful banjir,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, bank itu berkata, pelanggan individu yang terjejas layak menerima bantuan pembayaran balik sehingga enam bulan, termasuk moratorium dengan proses permohonan yang dipermudahkan.
“PKS pula akan ditawarkan pengaturan pembayaran balik fleksibel bagi mengurus aliran tunai sepanjang tempoh pemulihan.
“CIMB turut bekerjasama dengan rakan insurans dan takaful bagi mempercepatkan pemprosesan tuntutan, termasuk melalui talian hotline khusus bersama Berjaya Sompo Insurance Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd.
“Yuran akan dikecualikan bagi penggantian kad debit dan kredit, buku akaun, cek dan penyata bank serta caj lewat untuk pelanggan yang terjejas. Bagi PKS, semua caj dan yuran lewat berkaitan turut dikecualikan bagi menyokong pemulihan kewangan,” ujarnya.
Tambah CIMB, kakitangannya yang terkesan akan menerima bantuan segera melalui dana kebajikan staf, termasuk pendahuluan tunai dan sokongan kewangan lain.
Selain bantuan kewangan, Yayasan CIMB turut menggerakkan bantuan kemanusiaan dengan menghantar 49,000 hidangan sedia dimakan melalui Kembara Kitchen dalam fasa tindak balas awal, dengan kerjasama GLC Demi Rakyat dan Negara.
Maklumat lanjut mengenai Pelan Bantuan Banjir CIMB boleh dirujuk melalui laman sesawang bank berkenaan. – UTUSAN










