PERSATUAN Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) menerima aduan terdapat kontraktor pencucian sekolah-sekolah yang gagal membekal bahan, perkakas dan peralatan kerja yang cukup. Pekerja pencuci terpaksa membeli perkakas dan peralatan yang diperlukan seperti mop, penyapu, kain pengelap dan lain-lain untuk menjalankan kerja-kerja cucian.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku selepas harga kontrak dinaikkan ke tahap yang munasabah dan berpatutan. Harga yang dicadangkan oleh MACM adalah harga minimum untuk memastikan kontraktor mampu membayar gaji minimum, membuat caruman yang diwajibkan, menyediakan peruntukan cuti tahun berbayar dan menyediakan bahan, perkakas dan peralatan kerja yang sesuai dan cukup untuk pekerja-pekerja menjalankan kerja dengan selesa.
Sebaliknya segelintir kontraktor-kontraktor pembersihan yang mengejar keuntungan semata-mata mengambil kesempatan dengan harga yang lebih baik untuk mengaut keuntungan yang lebih, gagal memenuhi kehendak kontrak dan pekerja-pekerja terus teraniaya. Disebabkan ‘nila yang setitik, rosak susu sebelanga’.
MACM mengesyorkan supaya syarat pemilihan kontraktor diperketatkan bagi mengelak mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih, berterusan menganiaya pekerja-pekerja dan gagal mencapai standard kebersihan yang sepatutnya.
Untuk memilih kontraktor yang bertanggungjawab, mampu memenuhi standard kebersihan yang sepatutnya serta menjaga hak dan kebajikan pekerja-pekerja, perlu memenuhi beberapa kriteria.
Kontraktor perlu menyediakan rancangan pelaksanaan kerja-kerja cucian memenuhi spesifikasi kerja. Antaranya seperti jadual kerja cucian; harian, mingguan, bulanan dan berkala, penempatan pekerja dan pengagihan kerja, bahan, perkakas dan peralatan yang dicadangkan.
Di samping itu, kontraktor perlu mengemukakan pelan kawalan kualiti bagi menjamin pelaksanaan kerja-kerja cucian mencapai standard yang sepatutnya dan penambahbaikan yang berterusan.
Bagi mengelak hak dan kebajikan pekerja terabai, kontraktor perlu mengemukakan rancangan pengurusan kakitangan dan pekerja seperti gaji yang ditawarkan, caruman untuk pekerja, cuti tahun dan cuti sakit bergaji, insentif kemahiran dan lain-lain. Kontraktor juga perlu menyediakan metrik latihan dan laluan kerjaya bagi mendorong pekerja-pekerja untuk melaksanakan kerja dengan lebih cekap dan berkesan untuk memajukan dirinya.
Pengalaman lepas kontraktor serta rekod prestasi seharusnya menjadi kriteria penting dalam pemilihan kontraktor yang berjaya. Untuk memberi peluang kontraktor-kontraktor baru, mereka perlu mengikuti kursus atau apa-apa program berkaitan kerja-kerja cucian bagi memastikan mereka mampu memenuhi keperluan kontrak dengan berkesan dan mencapai standard kebersihan yang sepatutnya.
Kontraktor yang gagal mencapai standard kebersihan yang sepatutnya, menganiaya pekerja-pekerjanya, dengan tidak mencarum, tidak menyediakan cuti tahun bergaji dan tidak menyediakan bahan, perkakas dan peralatan kerja yang cukup, seharusnya dikenakan tindakan yang tegas, termasuk ditamatkan kontrak.
MACM yakin ahli-ahli tidak terlibat dalam salah laku sedemikian. Walau bagaimana pun, jika ada ahli yang terlibat, pihak sekolah boleh mengadu kepada MACM. Kami akan menjalankan siasatan masalah dan punca masalah dan seterusnya menasihatkan ahli untuk mengambil langkah pemulihan bagi memastikan keperluan kontrak dipenuhi, hak dan kebajikan pekerja dijaga.
Kami akur bahawa harga yang munasabah dan berpatutan tanpa rasa tanggungjawab tidak menjamin kualiti perkhidmatan yang baik, hak dan kebajikan pekerja-pekerja terjaga. Dalam memilih kontraktor yang berjaya, bukan sahaja harga tetapi kualiti kontraktor juga memainkan peranan yang penting khususnya rekod dan prestasi perkhidmatan dan pencapaian terdahulu. – UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)










