PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan mengesahkan kebanyakan kes cenderung bunuh diri dalam kalangan belia melibatkan golongan lelaki khususnya yang bekerja, menjadikan mereka kumpulan paling berisiko berbanding wanita.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, maklumat yang dikumpulkan melalui perkongsian daripada pelajar universiti, pakar, kaunselor, pertubuhan bukan kerajaan dan talian bantuan menunjukkan majoriti pemanggil serta kes yang dikenal pasti melibatkan lelaki muda berusia belasan hingga 30-an.
“Kebanyakan adalah mangsa lelaki. Talian bantuan juga memaklumkan mereka (lelaki) sering menghubungi berkali-kali kemudian letak telefon.
“Kita mungkin ingat perkara itu sebagai gurauan, tetapi sebenarnya ia adalah jeritan minta tolong,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Belia; Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia, di sini hari ini.
Menurutnya, stigma menjadi punca utama golongan belia sukar mendapatkan pertolongan, termasuk rasa takut dilabel di sekolah, universiti, tempat kerja dan dari kalangan keluarga sendiri.
“Di persidangan ini, kita dapat dengar sendiri bagaimana pelajar serta yang bekerja berkongsi pengalaman dilabel ‘lemah’ atau tidak tahan cabaran oleh kawan-kawan sekolah, cikgu sekolah, majikan, serta ahli keluarga dan saudara-mara.
“Disebabkan stigma ini, kita sering memperlekehkan nama Hospital Bahagia. Malah, istilah ‘makan ubat’ pun menjadi bahan gurauan. Kita juga mendengar banyak jenaka sebegini semasa perbahasan di Parlimen.
“Ada pelajar yang kata mereka takut jumpa kaunselor kerana bimbang masalah mereka dibincangkan dalam bilik guru. Ada pekerja muda pula bimbang majikan akan menganggap mereka tidak stabil atau tidak layak memegang tanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, sebahagian peserta turut mendedahkan pengalaman bagaimana perkataan seperti “gila”, “perlu makan ubat” atau “tidak kuat semangat” masih digunakan terhadap belia yang cuba mendapatkan rawatan.
Selain itu, Hannah berkata, tekanan kewangan, konflik keluarga dan beban kerja turut menjadi faktor yang mempengaruhi kecenderungan bunuh diri dalam kalangan belia yang bekerja. – UTUSAN









