Tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan mengenai hak 40 peratus Sarawak

Tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan mengenai hak 40 peratus Sarawak

SHARIFAH Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika tiba di Kompleks DUN Sarawak sempena persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tiada peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan untuk Sarawak menuntut geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan, seperti mana yang dimiliki oleh Sabah.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, terdapat peruntukan jelas dalam Perlembagaan mengenai hak 40 peratus untuk Sabah namun bukan untuk Sarawak.

“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus perkongsian hasil serta kajian semula geran khas.

“Untuk makluman Dewan, terdapat peruntukan jelas dalam Perlembagaan mengenai hak 40 peratus untuk Sabah, bukan untuk Sarawak. Tiada peruntukan jelas seumpamanya bagi Sarawak,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun keputusan tersebut terpakai khusus untuk Sabah, prinsip di sebalik keputusan itu adalah penting.

“Prinsipnya ialah Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan perlembagaan untuk menunaikan tanggungjawab kewangannya terhadap Sabah dan Sarawak, dan kewajipan ini tertakluk kepada penelitian kehakiman bagi memastikan ia dipenuhi dengan sewajarnya,” katanya.

Hasidah menambah walaupun keadaan Sabah adalah unik, kedua-dua Sabah dan Sarawak dijamin kajian kewangan setiap lima tahun menurut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya penemuan mahkamah itu mengukuhkan harapan bahawa kajian tersebut mesti dijalankan dengan segera, telus dan penuh keikhlasan.

“Pendiri­an Sarawak ialah bahawa Geran Khas hendaklah berdasarkan formula yang adil, konsisten dan ditakrif dengan jelas.

“Keputusan ini merupakan satu langkah bermakna ke arah memastikan keadilan dan akauntabiliti dalam kewajipan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Sarawak tetap teguh mempertahankan hak perlembagaannya dan akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Sementara berhubung status rundingan Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan Geran Khas, Hasidah berkata rundingan itu masih sedang berjalan.

Menurutnya, kemajuan yang ketara telah dicapai dari segi libat urus, dengan perbincangan teknikal dan konsultasi dijalankan untuk memperincikan formula yang dicadangkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ulangi bahawa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ini, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju, sebagai langkah interim, untuk meningkatkan Geran Khas daripada RM300 juta pada tahun 2024 kepada RM600 juta bermula tahun 2025 untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Walaupun kita bersyukur dengan perkembangan ini, Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan penyediaan formula muktamad yang adil, telus dan mencerminkan sumbangan Sarawak kepada negara, melalui dialog, konsultasi dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Hasidah menegaskan Kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap semua isu MA63 yang belum diselesaikan.

“Pendekatan kami adalah sistematik, bukan sahaja menitikberatkan kandungan setiap perkara, tetapi juga memastikan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan disusun dengan baik, bersifat konstruktif dan berorientasikan hasil.

“Pasukan kami sedang giat terlibat dalam rundingan, perancangan dasar dan perbincangan antara kerajaan bagi memastikan semua perkara tertunggak diselesaikan secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×