Potong gaji wakil rakyat pernah dilakukan ketika darurat komunis - Utusan Malaysia

Potong gaji wakil rakyat pernah dilakukan ketika darurat komunis

IDRIS HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cadangan pemotongan gaji dan elaun wakil rakyat ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 disifatkan sebagai baik dan amat relevan kerana perkara sama telah dilakukan semasa darurat ancaman komunis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, dikhabarkan ketika itu gaji dan elaun wakil rakyat dihentikan sehingga ada yang terpaksa menoreh getah dan membawa teksi untuk menampung keperluan harian.

Katanya, pemotongan itu diterima dengan rela hati oleh mereka demi mendahulukan kepentingan negara yang baharu sahaja mencapai kemerdekaan.

“Jadi jika hari ini, elaun yang berhormat dipotong 50 peratus pun tidak mengapa berbanding tiada elaun langsung. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, potongan  ini sebagai tanda sokongan dan kefahaman wakil rakyat kepada masalah beban kewangan negara.

“Dari sudut moralnya, inilah tanda tekad kepimpinan melalui teladan dan ganjaran berasaskan prestasi, piece meal atau lebih mudah difahami ‘ada kerja ada gaji’. Saya yakin ia akan mendapat sokongan setiap lapisan rakyat dan pembayar cukai,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kesemua 220 ahli Parlimen di negara ini dicadang membuat pemotongan elaun wakil rakyat masing-masing sekurang-kurangnya 30 peratus untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Semua 503 ADUN juga turut diminta berbuat demikian dengan pemotongan elaun sekurang-kurangnya 20 peratus.

Cadangan itu disambut baik wakil rakyat daripada pelbagai parti politik yang bersedia elaun mereka dipotong sebanyak 30 peratus.

Selain elaun, mereka juga bersedia memotong gaji bulanan untuk akaun berkenaan sebagai menyahut seruan kerajaan Pusat dan beberapa pihak sebagai tanda solidariti.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×