Guru bukan sekadar menyampaikan pengetahuan dengan akal tetapi juga dengan hati dan tanggungjawab yang mendalam terhadap insan yang dididik. Kecerdasan boleh diasah tetapi kebijaksanaan bergantung kepada cara kita mengaplikasikannya. Kebodohan pula subur dalam keangkuhan, kejahilan dan keengganan untuk belajar.
Kebodohan ini terpancar nyata melalui pelbagai masalah di sekolah seperti buli, pergaduhan, kes rogol, bahkan pembunuhan pelajar.
Setiap kejadian tragis memunculkan pertanyaan, siapa yang salah? Namun hakikatnya, tanggungjawab ini adalah kolektif. Anak-anak tidak dibentuk dalam ruang kosong, mereka belajar melalui teladan, nilai dan tindakan orang dewasa di sekeliling mereka.
Apabila masyarakat cepat menghukum tetapi lambat mendidik, terlalu ghairah menuding jari tetapi enggan menjadi teladan, benih kejahilan tumbuh dan berkembang menjadi tragedi.
Guru menyaksikan paradoks ini setiap hari. Murid mengulangi kesilapan, menolak nasihat, atau bertindak tanpa sedar akibatnya. Saat-saat begini menguji kesabaran dan keyakinan tetapi di sebalik perjuangan itulah terserlah keindahan profesion perguruan melalui ketabahan, kasih sayang dan harapan.
Sayangnya, ramai guru kini kehilangan jiwa mengajar. Di sebalik kepatuhan terhadap laporan, arahan dan beban kerja yang meningkat, semangat mengajar kian tenggelam dalam tekanan sistem dan kehendak pentadbiran.
Sudah tiba masanya jiwa itu dikembalikan. Seorang guru sejati tidak hanya menyampaikan ilmu tetapi menyalakan api keinsafan dan kemanusiaan dalam murid.
Inilah roh mengajar yang sebenar jiwa yang menghidupkan ilmu dengan kasih dan makna. Walaupun kecerdasan ada had, belas kasihan, ketabahan dan semangat mendidik tidak. Guru yang hebat terus mengajar bukan kerana semua murid mendengar, tetapi kerana mereka percaya setiap jiwa boleh diselamatkan. Pendidikan adalah kebangkitan beransur-ansur; setiap usaha menanam benih kesedaran yang mungkin mengambil masa untuk berakar.
Kebijaksanaan sejati dalam mendidik bukan terletak pada ilmu semata-mata tetapi pada empati dengan mengetahui bila perlu menegur, mendengar dan memberi ruang agar kesilapan menjadi guru.
Apa yang kelihatan sebagai ‘kebodohan’ sering berpunca daripada kekurangan bimbingan dan kasih sayang, bukan kekurangan kemampuan. Dengan kesabaran dan keazaman, guru, ibu bapa dan masyarakat mampu menukar penentangan menjadi ketahanan, kejahilan menjadi kesedaran.
Untuk itu berlaku, setiap pihak perlu melihat ke dalam diri. Bukan lagi bertanya, siapa salah? tetapi apa peranan saya? Pendidikan bukan tugas kementerian semata-mata, ia tanggungjawab kolektif antara keluarga, sekolah dan komuniti. Tiga prinsip penting dapat membimbing proses ini:
Berani melangkah membuka jalan perubahan. Bagi guru, ibu bapa dan kementerian, ia bermaksud mencuba pendekatan baharu, memberi ruang inovasi, dan belajar dari kegagalan.
Kesilapan harus menjadi guru. Memaafkan dan menerima kelemahan serta bersedia memperbaiki diri adalah asas pembaharuan dalam pendidikan.
Kesyukuran diterjemahkan melalui tindakan dengan menghargai guru, menyokong murid dan memberi penghormatan kepada usaha mendidik melalui perbuatan nyata.
Ketiga-tiga prinsip ini membentuk inti ketabahan, nilai yang perlu dihidupkan di rumah, sekolah dan komuniti. Dalam diri guru, ibu bapa dan pelajar, terdapat ruang tanpa had untuk harapan dan kebijaksanaan.
Kecerdasan mungkin ada had tetapi hati manusia apabila dipandu oleh keinsafan, jiwa guru dan tanggungjawab, tiada sempadannya.
Sebelum menuding jari kepada orang lain, marilah kita bertanya pada diri sendiri: adakah saya sudah menjadi sebahagian daripada penyelesaian, atau masih sebahagian daripada masalah? – UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor











