KYIV: Ukraine meminda pelan damai Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik, dengan menghapuskan beberapa tuntutan maksimalis Russia, menurut sumber.
Pemimpin Eropah memberi amaran tiada perjanjian besar dijangka dapat dicapai dengan cepat.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijangka bertemu Presiden Donald Trump di Rumah Putih minggu ini, susulan siri panggilan antara Kyiv dan Washington, selain Ukraine mendesak Eropah terlibat dalam rundingan tersebut.
Pelan asal 28 perkara AS-Russia itu disediakan bulan lalu oleh wakil khas Vladimir Putin, Kiril Dmitriev, dan wakil Trump, Steve Witkoff yang menuntut Ukraine berundur dari wilayah timur Donbas, mengehadkan saiz tentera dan tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Semasa rundingan pada Ahad di Switzerland, dipimpin Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan ketua kakitangan Zelensky, Andriy Yermak, pelan tersebut disemak semula secara menyeluruh, yang kini hanya mengandungi 19 perkara.
Kyiv dan rakan kongsi Eropah menegaskan barisan hadapan sedia ada perlu menjadi titik permulaan bagi perbincangan wilayah.
“Bilangan perkara kini berkurangan dan tidak lagi 28, serta banyak elemen yang betul dimasukkan ke dalam rangka kerja ini,” kata Zelensky.
Ukraine menegaskan, tiada pengiktirafan boleh diberikan ke atas tanah yang ditawan Russia secara ketenteraan dan Kyiv perlu membuat keputusan sendiri sama ada mahu menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan NATO.
Timbalan Menteri Luar pertama Ukraine, Sergiy Kyslytsya memberitahu Financial Times, isu tersebut akan diputuskan oleh Trump dan Zelensky.
Delegasi Ukraine menggambarkan versi terbaharu pelan tersebut sebagai lebih realistik.










