MEDIA kerap melaporkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah gabungan terbesar politik di Sabah dan dikatakan bakal memiliki kelebihan berbanding parti-parti lain yang bertanding.
Namun kemunculan pengaruh pemimpin nasional seperti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedikit sebanyak mencetuskan kebangkitan aura baharu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada kali ini di mana kehadirannya tentunya memaksa parti-parti lain bekerja lebih keras untuk menambat sokongan pengundi.
Sanusi dikenali dengan suaranya yang lantang tetapi bijak membina naratif baharu disamping gaya komunikasinya secara spontan malah berterus terang dan mudah mendekatkan diri dengan masyarakat boleh mengubah kempen parti-parti di pihak lawan yang bertanding.
Personaliti beliau serta pengaruhnya dalam kalangan penyokong parti akan merangsang gelombang sokongan baharu sekaligus memberi tekanan parti lawan mencari formula atau strategik yang lebih kreatif dan efektif.
Sejujurnya, kemunculan beliau mencerminkan betapa PRN Sabah bukan sekadar medan pertarungan politik lokal tetapi turut menjadi pentas pertarungan pengaruh pemimpin nasional terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sanusi selaku panglima perang Perikatan Nasional (PN).
Pada hemat penulis, sejauh manakah Anwar akan berjaya dengan eksperimentasinya untuk mengukuhkan PKR di Sabah agar boleh dijadikan indikator awal ataupun petunjuk terbaik bagi menghadapi persiapan Pilihan Raya Umum ke-16.
Makanya parti-parti besar lokal seperti GRS, Warisan dan seumpamanya tidak boleh memandang rendah atau mengabaikan pengaruh Sanusi walaupun beliau bukanlah anak kelahiran Sabah namun dipercayai membuatkan parti gabungan besar antaranya GRS, BN dan PH tidak boleh mendabik dada dan merasa cepat selesa lagipun sentimen rakyat Sabah sudah semakin kuat pro kepada pihak pembangkang.
Malahan kini sudah jauh lebih matang, serta lebih kritikal dan bijak menilai berdasarkan trek rekod, karakter pemimpin dan konsistensi seseorang calon bertanding. Biarpun GRS yang berada pada kedudukan sebagai penyandang namun tetap akan berhadapan tekanan isu asas rakyat yang pastinya akan mencorakkan keputusan berbeza pada PRN Sabah 29 November ini.
Penulis berpendapat, tiada mana-mana parti politik yang bertanding di Sabah kali ini boleh mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan melainkan terpaksa bergabung dengan mana-mana parti yang difikirkan mempunyai idealisme yang hampir serupa. BN barangkali akan lemas di Sabah memandangkan integriti calon dan imej serta reputasi parti itu sendiri mempunyai trek rekod yang kurang baik buat rakyat Sabah.
Justeru, bolehlah disimpulkan parti-parti yang bertanding agak seimbang dan masing-masing berpeluang seandainya bekerja lebih gigih, mengatur gerak berkempen secara agresif dan memperkemaskan pendekatan agar menjadi nilai tambah menarik sokongan para pengundi seterusnya dapat mengekalkan sokongan rakyat. – UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










