KUALA LUMPUR: Sama ada Titah Adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah sah dan boleh dilaksanakan akan diputuskan pada 5 Januari 2026.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat semalam.
Pada 13 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan bahawa Titah Adendum wujud namun sama ada perintah tambahan itu sah atau benar (valid and true) perlu diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Terdahulu ketika berhujah, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menyatakan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.
“Berdasarkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61, hanya satu keputusan dibuat semasa mesyuarat tersebut iaitu keputusan 50 peratus oleh Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah). Kandungan Perintah Addendum bertarikh 29 Januari 2024 tidak dibincangkan semasa mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong 16.
“Perintah (Titah) Adendum tidak dikeluarkan mengikut kerangka prosedur yang betul seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8) dan Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan (berkaitan kuasa pengampunan).
Oleh itu, Perintah Adendum tersebut tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang,”katanya.
Tambah Shamsul, hanya perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk perintah pengurangan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib tidak boleh dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah.
Dalam satu kenyataan 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. telah dikurangkan ke 6 tahun manakala dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli parlimen Pekan itu menyatakan, pihaknya telah berjaya membuktikan melebihi segalanya bahawa Titah Adendum itu wujud dan sah. Bagaimanapun, sehingga hari ini, ia tidak pernah dilaksanakan.
Tambahnya, Jabatan Peguam Negara mempunyai ‘sejarah penafian’ berhubung titah berkenaan sejak dari awal dan mereka sepatutnya diperintahkan untuk menyerahkan sesalinan titah itu kepada pemohon.
“Sudah lebih setahun (sejak Titah Adendum itu dikeluarkan), dan ia masih tidak dikuatkuasakan.
“Anak guam saya sepatutnya berada di bawah tahanan rumah sekarang. Keadilan sudah selesai, kini yang tinggal hanyalah belas kasihan,” katanya.-UTUSAN.









