MELAKA: Kejadian buaya tembaga mendarat di laluan motosikal di Pintu Air Sungai Duyong dekat Kampung Hang Tuah di sini malam kelmarin bukan kejadian pertama berlaku.
Penjaga Pintu Air Sungai Duyong, Norsyam Ibrahim, 42, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam selepas hujan berhenti sudah kerap dilihat di sepanjang sungai berkenaan.
Menurutnya, pada malam Sabtu lalu spesies yang sama juga turut dilihat di lokasi yang sama.
Katanya, sewaktu kejadian dia berada di rumah dan selepas orang kampung memaklumkan perkara tersebut dia bergegas ke lokasi itu, namun buaya tersebut telah tiada.
Ujarnya, ada kemungkinan buaya itu hendak pergi ke laut tetapi naik ke darat kerana pintu air tidak dibuka disebabkan hujan.
“Sepanjang dua tahun saya jaga pintu air ini tidak kurang tiga atau empat ekor buaya berlainan saiz sering kelihatan.
“Ada seekor yang paling besar kerap berada berhampiran pintu air ini malah sewaktu saya buka pintu air ini spesies itu lalu seperti tidak takut apa-apa.
“Pagi tadi (semalam) sewaktu saya pergi ke pintu air saya ternampak seekor buaya tidak jauh sini dan tidak pasti sama ada buaya yang sama dilihat malam tadi (kelmarin),” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Norsyam berkata, walaupun sudah ada papan tanda amaran Jabatan Perhilitan memaklumkan kawasan itu merupakan habitat buaya, namun masih ramai penduduk yang degil sering memancing berdekatan pintu air tersebut.
“Malah saya pernah dimarahi seorang bapa apabila saya menegur anaknya yang masih bersekolah memancing di kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Shamsul Adam, 41, berkata, kehadiran buaya tersebut naik ke darat sudah menjadi kelaziman.-UTUSAN.










