PETALING JAYA: UOB Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Invest Selangor bagi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pilihan utama pelabur di Malaysia serta rantau ini, sejajar aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Selangor.
Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan menumpukan usaha menarik pelaburan global berimpak tinggi, memudahkan kemasukan syarikat multinasional ke pasaran tempatan dan merancakkan pembangunan industri bernilai tambah tinggi berasaskan inovasi.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor untuk Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen Selangor memupuk persekitaran yang sesuai untuk pelabur global.
“Melalui kerjasama dengan UOB Malaysia, kami berhasrat mengukuhkan keupayaan bagi menarik pelaburan bernilai tinggi yang akan mendorong inovasi, kemampanan dan pembangunan inklusif di Selangor serta seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
Pengumuman itu adalah susulan kepada pelancaran Inisiatif Kluster Perindustrian Wilayah Tengah oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini, di mana Selangor telah mempertingkat inisiatif tersebut melalui asas perindustrian yang mantap dan kelebihan strategiknya.
Di bawah kerjasama tersebut juga UOB Malaysia akan memanfaatkan rangkaian perbankannya yang luas di seluruh Malaysia dan ASEAN untuk menonjolkan peluang pelaburan di Selangor kepada pelabur antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya akan memanfaatkan kesalinghubungan serantau dan kepakaran industri mereka untuk memudahkan pelaburan langsung asing (FDI), menggalakkan amalan hijau dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor bernilai tinggi di Selangor.
“Bank berbesar hati memainkan peranan dalam menyokong wawasan Selangor dan kami komited untuk membantu perniagaan global merebut peluang di Malaysia dan seluruh ASEAN,” ujarnya.
UOB Malaysia dan Invest Selangor akan menganjurkan misi pelaburan, persidangan dan mesyuarat meja bulat di pasaran-pasaran utama di Greater China, Asia dan Negara-negara Barat.
Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti Elektrik dan Elektronik (E&E), bahan kimia khusus, farmaseutikal, jentera dan peralatan, peranti perubatan, tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi pengguna.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari berkata, kerjasama berkenaan akan menawarkan sokongan penting kepada pelabur untuk kejayaan mereka.
“Invest Selangor berbangga dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia meningkatkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan terkemuka.
“Bersama-sama, kami akan membantu pelabur menubuh dan mengembangkan operasi mereka, sekali gus menyumbang kepada agenda transformasi ekonomi negeri,” katanya.
Di samping menarik pelabur asing, kerjasama ini akan mewujudkan peluang baharu untuk menghubungkan PKS tempatan kepada rantaian bekalan serantau serta membolehkan penggunaan teknologi hijau dan penyelesaian IR4.0.
Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai hab untuk industri yang mampan dan dipacu inovasi. – UTUSAN








