erokai i-SCORE Park dengan ATV, ‘pemulihan’ minda, fizikal

Terokai i-SCORE Park dengan ATV, ‘pemulihan’ minda, fizikal

Meredah lumpur, melalui belukar dan mendaki cerun licin, namun setiap saat memberikan pengalaman yang mendebarkan dan mengujakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DERUMAN enjin kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) memecah kesunyian pagi di Sepang Eco-Challenge & Outdoor Recovery (i-SCORE) Park, apabila para peserta dari Kelab Media Putrajaya bersiap sedia menempuh laluan mencabar yang penuh dengan lumpur, denai sempit dan kawasan berbukit kecil di tengah kehijauan alam.

Biarpun laluan yang dilalui bukan mudah, meredah lumpur, melalui belukar dan mendaki cerun licin, namun setiap saat memberikan pengalaman yang mendebarkan dan mengujakan, sekali gus menguji ketangkasan serta ketahanan fizikal dan mental peserta.

Lebih membanggakan, para pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) sendiri tampil sebagai jurulatih dan fasilitator profesional kepada pelanggan-pelanggan yang menyertai program pembangunan diri berasaskan konsep Adventure Learning & Recovery di taman rekreasi berkeluasan 19.6 hektar (48.4 ekar) itu.

“Kami bukan sekadar membawa peserta menunggang ATV, tetapi turut menerapkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam setiap aktiviti.

“Ia membantu membina keyakinan diri dan semangat baharu dalam kalangan pelatih,” ujar jurulatih Puspen merangkap Ketua Unit LKV, Hasrul Aznam Kamarulzaman yang mengendalikan aktiviti di situ.

Ditubuhkan pada September 2023, i-SCORE Park menjadi satu-satunya program pemulihan di negara ini yang menggabungkan pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal dalam kalangan klien sebagai sebahagian proses pemulihan berteraskan kemahiran dan hasil.

Melalui kemahiran insaniah, pelatih didedahkan kepada tugasan seperti memberikan taklimat keselamatan kepada pelanggan, menjadi pembantu atau fasilitator di checkpoint aktiviti serta mengurus komunikasi dengan peserta.

Sementara itu, pembangunan kemahiran teknikal pula memberi peluang kepada pelatih mengurus penyelenggaraan aset dan trek aktiviti, termasuk membina serta menambah baik fasiliti baharu di kawasan tersebut.

Menariknya, hampir 80 peratus infrastruktur di taman ini dibangunkan sendiri oleh pelatih dengan tunjuk ajar serta pemantauan pegawai Puspen.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu memulihkan keyakinan dan kemahiran sosial pelatih, tetapi juga mempersiapkan mereka menghadapi kehidupan sebenar dalam komuniti selepas tamat tempoh rawatan selama dua tahun.

Pelbagai aktiviti lasak, rekreasi

Ketangkasan peserta mengendalikan ATV teruji dengan pelbagai pilihan trek cabaran disediakan sepanjang 1.6 kilometer (km), 2.5km dan 3.6km.

Selain aktiviti ATV yang menjadi tarikan utama, pengunjung juga boleh memilih pelbagai aktiviti lain yang disediakan di i-SCORE Park seperti menunggang motosikal motorcross dan berbasikal lasak.

Melengkapkan aktiviti di kawasan berkenaan, para peserta boleh mencuba aktiviti Air seperti water confident dan water rafting selain cabaran eksplorasi, memancing dan perkhemahan.

Gabungan aktiviti lasak ini direka bukan sekadar untuk rekreasi, tetapi turut menggalakkan pembangunan karakter, ketahanan mental dan kemahiran kerjasama dalam kalangan peserta.

Harapan baharu klien

Perusahaan i-SCORE Park dilaksanakan di bawah akaun amanah berteraskan hasil, menjadikannya antara inisiatif unik yang menyokong kewangan dan sosial Puspen.

Melalui pendekatan baharu ini, Puspen bukan sahaja berjaya mencipta peluang latihan kepada pelatih, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat sendiri kejayaan program pemulihan yang berasaskan pembangunan sahsiah dan kemahiran sebenar.

Menerusi semangat lasak dan nilai pemulihan yang digabungkan, lokasi ini bukan sekadar destinasi rekreasi, tetapi simbol transformasi pemulihan boleh berlaku melalui kepercayaan, pengalaman dan cabaran alam.

Puspen Sepang bukan sekadar menjadi tempat pemulihan bagi penagih dadah, sebaliknya berfungsi sebagai institusi latihan kemahiran yang melahirkan klien berdisiplin, berdikari dan bersedia kembali ke pangkuan masyarakat.

Pengarahnya, Shamsul Anuar Mohamad Saleh berkata, program pemulihan di pusat itu menekankan keseimbangan antara aspek psikologi, spiritual, sosial dan pendidikan vokasional, bagi memastikan setiap klien yang tamat tempoh rawatan dapat kembali ke dunia luar dengan keyakinan diri serta kemahiran yang boleh menjamin masa hadapan.

“Kita di Puspen Sepang menumpukan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal. Kemahiran insaniah melibatkan bidang seperti jahitan dan penyediaan makanan (F&B), manakala kemahiran teknikal pula merangkumi kemahiran automotif, kimpalan serta penyelenggaraan penghawa dingin,” katanya.

Menurutnya, pemilihan klien ke Puspen Sepang dibuat secara teliti di bawah Seksyen 61A Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), melibatkan individu berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai asas kemahiran dan tahap kesihatan memuaskan.

“Klien yang dipilih datang dari seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak. Kita sendiri turun padang setiap bulan mengadakan sesi pemilihan melalui program roadshow bagi mengenal pasti calon sesuai,” jelasnya.

Shamsul Anuar berkata, setiap klien mengikuti latihan di bawah seliaan jurulatih bertauliah yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3.

Melalui kerjasama dengan Kolej Komuniti dan Pusat Giat Mara, klien yang mengikuti bidang F&B, automotif serta penghawa dingin akan menerima sijil SKM Tahap 2 selepas tamat latihan.

“Kita baru memulakan semula program latihan bersijil ini pada pertengahan Ogos lalu selepas menerima peruntukan baharu. Seramai 40 orang menyertai kumpulan pertama dan mereka akan mendapat sijil SKM apabila tamat latihan,” katanya.

Antara kemahiran yang menjadi tumpuan ialah penyediaan roti canai, karipap dan donat, produk makanan yang kini menjadi signature dish hasil latihan dapur klien pusat berkenaan.

“Bagi bidang automotif, kita turut melatih klien membaiki motosikal dan kenderaan pacuan empat roda, termasuk ATV. Mereka kini boleh dianggap sebagai pakar dalam bidang itu,” ujarnya.

Selain latihan kemahiran, Puspen Sepang turut memperkenalkan Arena i-SCORE Park, satu platform latihan yang kini mendapat sambutan tinggi daripada pelbagai agensi kerajaan, sekolah dan sektor swasta.

“Arena ini sebenarnya sangat aktif. Hampir setiap minggu kita menerima kehadiran kumpulan baharu yang datang untuk aktiviti luar. Ini juga menjadi peluang kepada klien kita membina keyakinan dan berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Katanya, i-SCORE Park bermula sejak Ogos 2023 namun kembali giat pada awal 2024 selepas kemudahan pusat dipulihkan daripada kerosakan banjir.

Bimbingan kerjaya, penghapusan stigma

Selepas tamat program, hampir 100 peratus klien Puspen Sepang mendapat pekerjaan melalui jaringan kerjasama dengan pelbagai syarikat dan industri tempatan.

Antaranya, pusat itu bekerjasama dengan bengkel automotif, restoran dan rangkaian makanan segera McDonald’s untuk menempatkan bekas klien bekerja mengikut bidang latihan masing-masing.

“Kita pastikan setiap klien mendapat pekerjaan sebaik keluar dari pusat. Ada juga yang bekerja dengan keluarga sendiri atau membuka perniagaan kecil. Walaupun tidak semua 100 peratus, tetapi hampir keseluruhan mereka berjaya mendapat kerja tetap,” katanya.

Mengulas mengenai stigma masyarakat terhadap bekas penagih, Shamsul Anuar mengakui persepsi negatif masih wujud, namun yakin ia akan berubah apabila masyarakat melihat sendiri perubahan dan kemahiran dimiliki bekas klien Puspen.

“Pada awalnya memang ada rasa ragu-ragu, tetapi apabila lihat hasil kerja klien, persepsi itu berubah. Kita ajar mereka supaya tidak malu dengan masa lalu, sebaliknya buktikan diri mampu berdikari dan menyumbang semula kepada keluarga serta masyarakat,” katanya.

Mengulas latar belakang kebanyakan klien, beliau tidak menafikan ramai datang daripada keluarga berpecah-belah dan persekitaran yang kurang kasih sayang serta bimbingan.

“Kebanyakan terjebak sejak kecil kerana kekurangan panduan dan perhatian ibu bapa. Ada yang dibesarkan dalam keluarga penagih, menyebabkan mereka meniru tingkah laku itu,” jelasnya.

Namun katanya, bukan semua klien berasal daripada keluarga miskin.

Ada juga dalam kalangan anak orang berada dan profesional yang tersalah langkah akibat tekanan dan pergaulan salah.

“Kita tidak menghukum, sebaliknya membantu mereka membina semula kehidupan. Di sini mereka belajar disiplin, agama, kemahiran dan tanggungjawab iaitu asas untuk kembali diterima masyarakat,” ujarnya.

Bagi Shamsul Anuar, kejayaan sebenar Puspen bukan sekadar membimbing klien bebas dadah, tetapi mampu berdikari dan menyalurkan manfaat kepada orang lain.

“Kita mahu mereka keluar dari sini dengan kemahiran, kekuatan mental dan spiritual. Apabila dapat kerja, mereka mampu bantu keluarga, isteri dan anak-anak.

“Itulah erti sebenar pemulihan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×