130 pelajar DUN Sungai Buloh terima RM50,750

130 pelajar DUN Sungai Buloh terima RM50,750

NIZAM Sani (kiri) dan Noor Aeiza Hassan (kanan) menyampaikan Bantuan Awal Pengajian Institut Pengajian Tinggi kepada wakil penerima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 130 pelajar DUN Sungai Buloh pelbagai peringkat pengajian menerima bantuan awal pengajian telah menerima sumbangan Bank Rakyat dan Ahli parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan.

Ramanan berkata, bantuan berjumlah RM38,500 oleh Bank Rakyat itu sejajar nilai kesejahteraan Malaysia yang mengutamakan pendidikan dan pembangunan pelajar bertanggungjawab.

Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sejak 2023 sehingga kini Bank Rakyat telah menyalurkan hampir RM1.2 juta kepada lebih 4,000 penerima merangkumi pelajar, keluarga serta golongan memerlukan daripada pelbagai kaum.

“Inisiatif tersebut meliputi bantuan kelengkapan sekolah, sokongan pendidikan, insentif kecemerlangan, keperluan asas, sumbangan perayaan, bantuan asnaf serta pelbagai program komuniti yang memperkukuh peranan sosial Bank Rakyat.

“Saya juga telah menambah sumbangan peribadi sebanyak RM12,250, menjadikan jumlah keseluruhan RM50,750 dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban permulaan pengajian serta memberi suntikan semangat kepada anak-anak Sungai Buloh yang bakal melangkah ke alam universiti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan yang menyokong program bantuan awal pengajian masyarakat.

Sementara itu, Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, usaha ini melambangkan komitmen membentuk generasi muda berdaya saing, berwibawa dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara bangsa sejajar misi memacu kemakmuran ekonomi anggota serta pelanggan.

Di samping itu, Bank Rakyat turut menawarkan Pembiayaan Pendidikan-i sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan 20 tahun termasuk tempoh tangguhan berdasarkan pengajian bagi membantu pelajar mengurus komitmen pendidikan mereka.

“Yayasan Bank Rakyat turut menyediakan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada pelajar diploma serta ijazah sarjana muda sekali gus memperluas akses sokongan akademik kepada golongan berpotensi tinggi seluruh negara.

“Program bantuan ini mempamerkan peranan institusi tersebut bukan sekadar entiti kewangan, tetapi rakan pembangunan masyarakat yang membuka masa depan lebih cerah kepada generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×