Ramai kanak-kanak terdedah bahan lucah

Ramai kanak-kanak terdedah bahan lucah

NOOR AZIAH MOHD AWAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu daripada empat kanak-kanak di negara ini pasti terdedah kepada ba­han lucah ketika melayari internet.

Keadaan itu mendorong me­­reka mencuba apa yang dilihat termasuk hubungan seks sehingga berisiko hamil sebelum berkahwin.

Pakar perundangan kanak-ka­­­nak, Prof. Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, pen­dedahan tanpa kawalan kepada bahan lucah di media sosial menerusi telefon pintar menjadi antara faktor utama gelombang kehamilan remaja bawah umur serta kelahiran anak tidak sah taraf yang semakin membimbangkan.

Katanya, kajian me­nun­­jukkan daripada empat orang kanak-kanak yang mela­ya­ri internet, seorang daripa­danya akan terdedah kepada kandungan lucah sama ada di laman web, media sosial atau platform lain.

“Daripada hanya terlihat, tim­bul rasa ingin tahu dan mereka mula mahu mencuba sehingga sebahagiannya terjebak dengan seks bebas. Ini tidak termasuk lagi kandu­ngan tiada tapisan dan kawalan se­perti Netflix dan medium yang hanya boleh didapati di hujung jari.

Baru-baru ini, Menteri Pem­ba­ngu­nan Wanita, Keluarga dan Masya­ra­kat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, kira-kira 41,842 remaja berusia 19 tahun ke bawah direkodkan hamil da­lam tempoh 2020 hingga 2024, dengan 50 peratus daripadanya berbangsa Melayu.

“Situasi itu jauh berbeza berbanding 10 hingga 20 tahun lalu apabila hiburan masyarakat banyak bergantung kepada te­levisyen dan radio, sedangkan hari ini segala bentuk maklumat, termasuk bahan lucah, berada di hujung jari.

“Anak-anak kita membesar pada zaman teknologi kecerdasan buatan (AI). Pegang sahaja telefon, semua maklumat berkaitan seks ada di tapak tangan. Malangnya, ramai ibu bapa belum benar-benar sedar sejauh mana bahaya keadaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Bagaimanapun, katanya, fenomena kehamilan bawah umur bukan isu baharu, sebaliknya sudah lama dibincangkan tetapi tidak pernah ditangani secara mendalam di peringkat dasar dan masyarakat.

“Pada 2010 saya buat penyelidikan. Ketika itu datanya sangat tinggi kalau tidak silap, setiap satu jam tiga kanak-kanak dilahirkan sebagai anak tidak sah taraf. Kita menyebut kebimbangan tetapi tidak ambil tindakan. Keadaan ini sangat memalukan. Sepatutnya ia mendorong kita bermuhasabah dan bertanya, apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Menurut Noor Aziah, pendedahan Nancy menunjukkan negara masih gagal membendung kehamilan remaja bawah umur sekali gus menunjukkan kelemahan pendekatan pencegahan, khususnya dalam aspek pendidikan awal dan kawalan pendedahan kepada kandungan berunsur lucah.

Beliau berkata, antara akar masalah ialah pengaruh media sosial yang sangat kuat, ditambah kurangnya pendidikan agama dan nilai, serta jurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak.

“Kita membesarkan anak-anak dalam zaman teknologi, tetapi pendekatan kita masih seperti zaman dulu. Kita marah gejala sosial, tetapi tidak membina benteng ilmu dan bimbingan.

“Mereka ini anak-anak yang sihat, ada perasaan ingin tahu, itu fitrah. Tetapi apabila tidak dibekalkan ilmu dan didikan agama yang cukup, mereka mudah dipengaruhi dan mencari jawapan di tempat yang salah,” katanya.

Malah, katanya, ramai ibu bapa masih segan untuk bercakap isu seks dan baligh sedangkan mereka perlu diberi kefahaman jelas bahawa hubungan seks boleh menyebabkan kehamilan.

Sehubungan itu, kerajaan dan Kementerian Pendidikan perlu meletakkan pendidikan seks komprehensif mengikut kesesuaian umur sebagai komponen penting di sekolah, bermula dari sekolah rendah hingga menengah.

Jelasnya, pendidikan seks bukan bertujuan mengajar anak-anak melakukan hubungan seks, sebaliknya memberi pengetahuan yang betul mengenai kebersihan, maruah, perubahan tubuh, risiko kehamilan serta penyakit jangkitan seksual.

“Kalau anak perempuan sudah baligh, dia perlu tahu jika dia buat seks, dia boleh mengandung. Itu kita kena terangkan. Begitu juga anak lelaki perlu faham tanggungjawab, kawalan nafsu dan batas pergaulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×