Penduduk terkejut Wang Kelian dilanda banjir

Penduduk terkejut Wang Kelian dilanda banjir

PASUKAN penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terjejas ekoran banjir di Kampung Wang Kelian, Padang Besar, Perlis, semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Wang Kelian di kawasan berbukit dilanda banjir, sekali gus mengejutkan penduduk di kawasan itu yang jarang berdepan bencana berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan seramai 120 penduduk membabitkan 40 keluarga di Kampung Wang Kelian dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Pada masa ini, dua PPS diaktifkan di negeri ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh dan SK Titi Tinggi.

Dalam pada itu, laluan Wang Kelian juga mengalami kejadian tanah runtuh yang sekali gus menyukarkan kenderaan melalui kawasan itu.

Seorang penduduk Kampung Wang Kelian, Zulzalina Othman, 42, berkata, dia mula menyedari rumahnya dinaiki air sekitar pukul 4 pagi dan ia berlaku begitu pantas.

Katanya, hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan rumahnya dinaiki air dan mereka juga tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan penting.

“Saya dan keluarga hanya sempat bawa kad pengenalan manakala dokumen-dokumen lain bersama barangan berharga terpaksa ditinggalkan demi keselamatan kami. Saya menganggarkan kerugian dialami mencecah ribuan ringgit ekoran banjir ini.

“Penduduk di kampung ini juga sememangnya terkejut dengan kejadian banjir tersebut memandangkan kawasan berke­naan jarang berlaku bencana sedemikian.

“Sebelum ini, banjir kilat sahaja sering berlaku tapi kali ini memang amat mengejutkan berikutan air terlalu cepat naik dengan paras agak tinggi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kesemua sungai di Perlis ketika ini berada pada paras bahaya susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin sehingga mencapai kadar 106 milimeter (mm).

“Jadi saya menyeru semua penduduk di Perlis dapat bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Pada masa ini, kawasan terjejas di Perlis adalah melibatkan penduduk di Wang Kelian dan Titi Tinggi malah pihak berkuasa turut bersiap sedia bagi melakukan kerja pemindahan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada penduduk melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. (MAIPs).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×