TEMERLOH: Blok Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) Kerdau yang terbiar lebih lima tahun di tepi jalan utama Temerloh–Jerantut di sini, merupakan sebahagian daripada puluhan lagi kuarters guru di seluruh negara yang dibiarkan usang tanpa penghuni.
Bangunan tiga tingkat yang terletak di lokasi strategik berhampiran pekan Kerdau itu kini dipenuhi semak-samun, cat mengelupas dan beberapa unit kelihatan rosak.
Ia juga menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pengurusan aset kerajaan dan perancangan penempatan guru.
Seorang penduduk Kampung Paya Taram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Ishak Awalludin, 65, berkata, keadaan kuarters itu mendukacitakan kerana kemudahan yang sepatutnya memberi keselesaan kepada guru dibiarkan terbengkalai.
Menurutnya, hampir setiap hari dia melalui kawasan itu dan rasa terkilan melihat bangunan yang masih kukuh strukturnya, namun terbiar seperti ‘rumah hantu’ dan dibimbangi menjadi tempat aktiviti tidak sihat.
“Kuarters ini dulu kami ingat boleh bantu tarik lebih ramai guru tinggal dekat kawasan Kerdau, tidak payah berulang-alik jauh.
“Tetapi sekarang kosong, semak naik dan cat luntur. Orang lalu jalan Temerloh–Jerantut pun boleh nampak jelas yang menimbulkan tanda tanya ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketua Kampung Paya Taram, Kerdau, Abdul Raghani Jaafar , 58, berkata, jika tidak digunakan untuk guru, kuarters berkenaan wajar diubah suai untuk disewa kepada kakitangan jabatan lain dengan syarat tertentu.
Menurutnya, isu lambakan KIP kosong sebenarnya bukan perkara baharu, sebaliknya sudah beberapa tahun dibangkitkan malah pernah disentuh di Dewan Rakyat.
“Namun, sehingga kini belum kelihatan tindakan benar-benar tuntas dan menyeluruh diambil pihak berwajib bagi memastikan aset sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya di kawasan luar bandar seperti Kerdau,” katanya.
Beliau bimbang jika keadaan dibiarkan berlarutan, bukan sahaja berlaku pembaziran wang rakyat akibat aset tidak digunakan, malah risiko keselamatan juga meningkat apabila kawasan terbiar menjadi tumpuan pencerobohan, vandalisme dan haiwan berbisa.
Penduduk berharap pihak berkaitan turun padang meninjau sendiri keadaan KIP Kerdau dan dapat mencari jalan penyelesaian segera,” katanya.-UTUSAN.










