PETALING JAYA: Carsome, ekosistem kereta terpakai terbesar di Asia Tenggara menyasar untuk menembusi pasaran kereta baharu dan kereta elektrik (EV) di Malaysia dan rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan jangka panjang syarikat.
Ketua Pegawai Perniagaan Carsome, Aaron Kee berkata, penembusan ke pasaran ini adalah sebahagian daripada hasrat syarikat untuk melengkapkan ekosistem automotifnya.
Katanya, EV adalah peluang menarik, walaupun terdapat cabaran seperti tamatnya insentif pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) di Malaysia akan tamat pada 31 Disember 2025.
“Carsome akan membantu pengeluar peralatan asli (OEM) mempromosikan dan mengedarkan EV. Kami mahu memudahkan pengguna membeli EV serta menyokong pengeluar OEM dalam pemasaran dan pengedaran mereka di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Kami juga melihat potensi pasaran kereta terpakai EV dalam tiga tahun akan datang dan Carsome bercadang menjadi peneraju pasaran ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata, Carsome sedang dalam perbincangan dengan beberapa pengeluar China untuk membawa jenama mereka ke Malaysia dan Asia Tenggara, dengan penekanan kepada keserasian nilai, DNA syarikat, dan kelestarian jangka panjang.
Tambahnya, syarikat unicorn Malaysia yang ditubuhkan pada 2015 itu kini mempunyai hampir 100 touch points dengan lebih 3,000 pekerja.i
Aaron berkata, Carsome beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia, dengan jualan tahunan dianggarkan sebanyak 150,000 kenderaan dan hasil tahunan sekitar AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion).
“Carsome berhasrat membangunkan ekosistem automotif menyeluruh, bermula dengan kereta terpakai dan secara berperingkat merangkumi kereta baharu.
“Ekosistem ini termasuk jual beli kenderaan, pembiayaan, insurans serta perkhidmatan selepas jualan bagi mengekalkan hubungan dengan pelanggan sepanjang hayat kenderaan mereka.
“Selain kereta terpakai, matlamat jangka panjang kami adalah membangunkan platform automotif penuh termasuk EV,” jelasnya.
Mengulas mengenai pasaran EV sebagai peluang strategik walaupun insentif cukai bakal tamat, beliau berkata, Carsome percaya jualan EV akan meningkat susulan kos petrol yang tinggi. – UTUSAN










