PETALING JAYA: Mesir meminta Malaysia untuk bersama-sama menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai pelan pemulihan bagi membangunkan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu disampaikan oleh Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly ketika pertemuan di Sidang Kemuncak G20 semalam.
Katanya, Mostafa turut menyampaikan salam daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi sebelum menjelaskan mengenai persidangan yang dirancang serta serta peranan Malaysia dalam usaha tersebut.
“Beliau meminta kita bukan sahaja menghadiri persidangan itu, tetapi turut menganjurkannya bersama.
“Saya maklumkan saya akan meminta Kementerian Luar meneliti perkara ini dengan teliti sebelum kita memberikan jawapan rasmi,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, semalam.
Menurut Perdana Menteri, cadangan berkenaan merupakan satu inisiatif yang baik dan Malaysia tetap komited memberikan sokongan penuh serta menghadiri persidangan tersebut.
“Setakat ini, perancangan mereka ialah mendapatkan kerjasama negara Arab dan negara Islam lain bersama-sama Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan pemulihan Gaza dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, portal tempatan Mesir melaporkan, Mostafa telah mengumumkan kesediaan negaranya untuk menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa mengenai pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza, serta mengajak negara-negara peserta terlibat secara aktif.
Mesir turut dilaporkan telah menyediakan pelan pembinaan semula komprehensif untuk Gaza, yang diterima pakai oleh negara-negara Arab pada Sidang Kemuncak Arab pada Mac lalu. – UTUSAN











