Islam tidak halang kreativiti, selagi tidak langgar batas

Islam tidak halang kreativiti, selagi tidak langgar batas

WARDATUL IMAN SIDHU ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era dunia digital yang sarat dengan cabaran moral dan nilai, tanggungjawab pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk jiwa dan sahsiah pelajar agar terus berpaksikan Islam.

Ini kerana keghairahan mengejar kecemerlangan akademik semata-mata tanpa bimbingan rohani dikhuatiri akan melahirkan generasi pintar akal tetapi kosong jiwa.

Menurut Pengetua Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (MAWAR) di Kepala Batas, Pulau Pinang, Wardatul Iman Sidhu Abdullah, sistem pendidikan Islam yang sejati menyeimbangkan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Katanya, pendidikan Islam bukan hanya pada nama sekolah atau silibus semata-mata, tetapi pada roh dan cara pelaksanaannya yang mesti berlandaskan syariat.

Katanya, dalam mendidik anak-anak pada zaman serba moden ini, pendidik perlu memastikan setiap proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berpaksikan syariat Islam agar tidak lari daripada matlamat sebenar pendidikan Islam.

“Sebenarnya, asas kepada pengajaran berlandaskan Islam bermula daripada niat dan kefahaman seorang guru itu sendiri. Apabila niat mengajar itu kerana Allah, maka seluruh proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi ibadah,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, syariat Islam tidak hanya terletak pada isi kandungan kurikulum semata-mata, tetapi turut terserlah pada roh dan pendekatan seorang pendidik.

Katanya, nilai Islam boleh diselitkan dalam apa jua subjek termasuk Sains dan Matematik bagi menanam kefahaman bahawa setiap ilmu berasal daripada Allah SWT.

“Contohnya, apabila kita mengajar sains, kaitkan dengan kebesaran ciptaan Allah. Bila mengajar matematik, tanam nilai amanah dan kejujuran dalam pengiraan,” jelasnya.

Wardatul Iman berkata, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi perlu dibina dengan menekankan integrasi nilai Islam dalam sistem sekolah.

“Ilmu dunia dan akhirat bukan dua perkara terpisah. Ia saling melengkapi tanggungjawab kita sebagai khalifah,” katanya yang menjelaskan, integrasi ini hanya akan berjaya jika nilai Islam meresap ke dalam semua mata pelajaran dan aktiviti harian pelajar, bukan sekadar diwujudkan dalam waktu pendidikan Islam seminggu sekali.

Dalam membentuk sahsiah pelajar pula, beliau menegaskan pentingnya peranan guru sebagai qudwah hasanah atau contoh teladan yang baik kepada pelajar.

“Pelajar akan meniru apa yang mereka lihat, bukan sekadar mendengar. Jadi, guru mesti menunjukkan akhlak Islam dalam tindakan seharian,” ujarnya.

 

Wardatul Iman Sidhu Abdullah
Usia: 47 tahun
Asal: Lahir di Kuala Lumpur, membesar di India dan Kedah
Profesion: Pengetua, Madrasah Al Quran Wal Arabiyyah (MAWAR)

 

Wardatul Iman menambah, apabila pelajar melihat akhlak yang baik dipraktikkan oleh guru, barulah mereka benar-benar menghayati ajaran Islam dan bukan hanya mengetahuinya secara teori.

Selain itu, katanya, dalam pemerhatiannya terhadap perubahan generasi pelajar kini beliau berpandangan sikap mereka tidak boleh dinilai semata-mata secara negatif.

“Pelajar sekarang lebih berani dan terbuka, tetapi kadangkala hilang batas adab dalam komunikasi. Namun, itu bukan tanda mereka rosak, sebaliknya memerlukan bimbingan yang sesuai dengan zaman mereka.

“Kita jangan banding-bandingkan, tetapi harus fahami corak sosial dan budaya baru yang membentuk mereka. Seperti mana Saidina Ali pernah berpesan: ‘Ajarilah anakmu sesuai zamannya’,” katanya.

Mengulas punca kemerosotan adab dalam kalangan pelajar, beliau menyifatkan ia berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait antara satu sama lain.

“Media sosial memang memberi pengaruh besar, tetapi akar masalahnya adalah kurangnya bimbingan berterusan di rumah dan hubungan rapat antara guru dan pelajar,” katanya yang memberitahu, pelajar yang merasa disayangi dan dipedulikan akan lebih mudah dibentuk serta menerima nasihat dengan hati terbuka.

Bagi menghadapi pelajar dalam era digital, Wardatul Iman berkata, cabaran terbesar guru masa kini ialah perhatian pelajar yang semakin singkat akibat gaya hidup pantas dunia moden.

“Mereka cepat bosan dan sukakan perkara instant (segera). Maka guru perlu bijak menyesuaikan pendekatan dengan menggunakan teknologi secara berhemah,” ujarnya.

Beliau menyarankan agar guru menggunakan video pendek, kuiz interaktif, atau kisah realiti yang memberi pengajaran, namun tetap mengekalkan nilai Islam dalam setiap penyampaian.

“Kuncinya adalah kreatif tapi berprinsip. Islam tidak menolak kreativiti, malah, menggalakkannya selagi tidak melanggar batas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×