KUALA LUMPUR: Lebih 100 peserta berhimpun secara aman di ibu kota hari ini bagi mendesak polis mempercepatkan usaha mengesan anak M. Indira Gandhi, Prasana Diksa yang dilarikan bekas suaminya hampir 17 tahun lalu.
Perarakan bermula di hadapan pusat membeli belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum bergerak ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ia dipimpin Indira Gandhi yang terus menuntut keadilan selepas penantian lebih 16 tahun itu masih tidak berpenghujung.
Katanya, persoalan paling menghantui sejak hari kejadian adalah keberkesanan pihak berkuasa menjejaki anak bongsunya itu, yang kali terakhir berada dalam jagaannya ketika masih bayi.
“Kenapa begitu sukar untuk polis mencari Prasana? Kehadiran semua hari ini memberi saya kekuatan,” katanya dalam ucapan penuh emosi di hadapan para peserta dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk S. Ambiga.
Indira Gandhi turut mengakui bimbang tidak lagi mampu mengenali anaknya, sekiranya bertemu hari ini kerana perpisahan yang terlalu lama.
“Tiada ibu patut melalui pengalaman sebegini. Bila saya akan dapat melihat Prasana? Adakah ini peluang terakhir saya memperjuangkannya?” katanya.
Beliau berkata, himpunan berkenaan membawa mesej jelas kepada Ketua Polis Negara agar tindakan lebih tegas dan tuntas diambil.
Pada 2009, bekas suami Indera Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah secara unilateral telah mengislamkan ketiga-tiga anaknya tanpa kebenaran Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah syariah untuk mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiganya.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama unilateral ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.
Mahkamah Tinggi, Ipoh pada 2010 memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan perhimpunan berkenaan, namun tidak mengulas lanjut. – UTUSAN










