KKM teliti perjanjian dua hala atasi penghijrahan doktor

KKM teliti perjanjian dua hala atasi penghijrahan doktor

KOS perubatan dijangka meningkat mendadak pada tahun depan, sekali gus memberikan tekanan kepada para majikan yang menyediakan manfaat perubatan kepada pekerja. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti pelaksanaan perjanjian dua hala dengan beberapa negara utama destinasi petugas kesihatan Malaysia seperti Arab Saudi, Singapura dan Australia sebagai strategi jangka panjang bagi membendung penghijrahan tenaga kerja mahir sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan mengawal selia pergerakan keluar masuk petugas kesihatan secara lebih sistematik dan beretika selaras dengan kod etika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), WHO Global Code of Practice on the International Recruitment of Health Personnel.

“Kod etika WHO itu menjadi panduan kepada negara-negara anggota dalam proses pengambilan petugas kesihatan antara negara agar pelaksanaannya lebih beretika, tidak menjejaskan negara sumber (source country) khususnya negara membangun yang berdepan kekangan tenaga pakar.

“KKM akan terus mengadakan sesi libat urus dengan agensi pusat bagi menambah baik insentif dan manfaat untuk petugas kesihatan. KKM komited melestarikan sistem kesihatan negara yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat serta petugas kesihatan pada masa depan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai langkah strategik jangka pendek dan panjang bagi menangani isu brain drain doktor perubatan ke negara jiran seperti Singapura serta mekanisme memastikan sistem kesihatan negara tidak terjejas akibat kehilangan tenaga pakar.

Menurut Dzulkefly, isu penghijrahan bakat profesional bukan perkara baharu dan turut berlaku di negara membangun lain terutama disebabkan tawaran gaji lebih kompetitif di negara maju atau berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, gaji dan insentif yang ditawarkan kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam termasuk petugas KKM ketika ini adalah seiring dengan pendapatan serta kedudukan fiskal semasa negara.

Katanya, bagi mengekalkan bakat sedia ada dan mengurangkan kesan penghijrahan pegawai perubatan, KKM melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pembiayaan pengajian kepakaran menerusi Hadiah Latihan Persekutuan dan biasiswa KKM bagi meningkatkan pengeluaran pakar dalam negara.

“Pada tahun 2025, seramai 544 pegawai perubatan telah diwartakan sebagai pakar, manakala 402 pegawai lagi sedang dalam proses pra-warta.

“Selain itu, KKM turut menawarkan lantikan tetap kepada 4,518 pegawai perubatan kontrak pada tahun ini bagi menjamin kesinambungan kerjaya dalam perkhidmatan awam.

“Pada 2026, KKM mensasarkan untuk melantik tetap seramai 4,500 pegawai perubatan kontrak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×