KUALA PILAH: Pemeriksaan teknikal terhadap lampu isyarat di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat persimpangan Ampang Tinggi di sini akan dilakukan.
Ia susulan aduan awam tempoh lampu hijau pada lampu isyarat itu yang terlalu singkat sehingga mengakibatkan kesesakan di jalan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Ibrahim berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak JKR bagi mendapatkan penjelasan berkenaan masalah itu.
Bagaimanapun, katanya JKR tidak menolak kemungkinan berlaku masalah pada sensor yang menyebabkan tempoh lampu hijau bertukar terlalu cepat.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, tetapan lampu isyarat itu sebenarnya telah diselaraskan mengikut pola trafik semasa dan sepatutnya tidak menimbulkan masalah.
“JKR negeri memaklumkan bahawa mereka akan turun ke lokasi dalam masa terdekat bagi melakukan pemeriksaan teknikal serta membuat pelarasan segera,” katanya ketika dihubungi.
Pada 19 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan kesesakan jalan raya yang sering berlaku di Jalan Seremban Kuala Pilah dekat persimbangan Ampang Tinggi dikatakan juga berpunca daripada tempoh masa lampu isyarat berwarna hijau yang singkat.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati tempoh lampu hijau di persimpangan tersebut hanyalah beberapa saat sebelum bertukar merah menyebabkan tidak sampai empat kenderaan sempat melepasi persimpangan berkenaan.
Noorzunita berkata, pihak berkuasa komited memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di laluan utama masuk ke daerah Kuala Pilah.-UTUSAN.









