AS, Russia rangka pelan paksa Ukraine serah kalah?

AS, Russia rangka pelan paksa Ukraine serah kalah?

ANGGOTA penyelamat Ukraine beroperasi di lokasi bangunan kediaman yang rosak teruk susulan serangan udara Russia di bandar Ternopil, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Russia dilaporkan secara senyap-senyap merangka pelan baharu untuk menamatkan perang di Ukraine, selain bakal menyaksikan Kyiv menyerahkan wilayah serta mengehadkan saiz tenteranya.

Dakwaan itu muncul ketika Russia semakin agresif melancarkan serangan dron dan peluru berpandu di bandar Ternopil pada Rabu lalu, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 25 nyawa.

Draf pelan berkenaan didakwa dibangunkan oleh utusan Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, bersama penasihat Kremlin, Kirill Dmitriev.

Pelan tersebut akan mengenakan tindakan keras terhadap Ukraine dan memberikan Russia kawalan yang belum pernah berlaku terhadap kedaulatan ketenteraan serta politik negara tersebut.

Kedua-dua individu itu dikatakan membentuk saluran sulit yang penting tetapi tidak rasmi antara Moscow dan Washington, namun masih belum jelas sama ada pentadbiran Trump menyokong pelan tersebut.

Laporan Financial Times dan Reuters mendakwa, cadangan itu memerlukan Ukraine menyerahkan wilayah yang kini berada di bawah kawalannya di timur negara serta mengurangkan separuh saiz tentera, syarat yang sebelum ini ‘tidak boleh diterima’ oleh Presiden Volodymyr Zelensky.

Syarat lain termasuk mengehadkan bantuan ketenteraan AS serta kategori senjata yang digunakan oleh tentera Ukraine.

Kewujudan pelan 28 perkara itu, dipercayai diinspirasikan daripada cadangan sama yang dibangunkan pentadbiran Trump untuk menamatkan perang di Gaza, lapor Axios.

Washington sebelum ini beberapa kali mendakwa hampir mencapai perjanjian damai antara Russia dan Ukraine, namun cadangan itu gagal kerana ia akan memenuhi sebahagian besar tuntutan Russia, sambil memaksa Kyiv membuat konsesi yang menyakitkan.

Laporan itu muncul ketika Russia melancarkan serangan besar-besaran di barat Ukraine, menyasarkan beberapa bangunan bertingkat di bandar Ternopil serta kemudahan tenaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×