LONDON: Satu jam poket buatan Britain mencatat sejarah apabila dijual pada harga rekod dunia 2.1 juta pound (RM11.4juta) dalam satu acara lelong.
Jam berprestij itu dilengkapi fungsi pengiraan fasa bulan, penggera serta termometer digambarkan sebagai antara jam poket vintaj paling kompleks pernah dihasilkan.
Dicipta pada tahun 1907 oleh pembuat jam dari Coventry, Joseph Player, jam itu pada asalnya dianggarkan akan mencecah sekitar satu juta pound (RM5.42 juta) ketika dilelong di Geneva.
Namun, ia jauh mengatasi jangkaan apabila dijual pada harga 2.1 juta pound sekali gus mengejutkan para pemerhati lelongan.
Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah cicit generasi kelima Player, Carl, yang terbang ke Switzerland untuk mengikuti acara tersebut.
“Sehari sebelum lelongan, mereka menjemput kami ke pameran dan saya berpeluang memegang jam itu.
Walaupun saya tidak pernah bertemu moyang saya, dengan memegang jam itu, saya seolah-olah dapat merasakan hubungan dengan beliau,” katanya.
Penjualan bersejarah di lelongan Decade One anjuran Phillips di Geneva itu mencatat rekod dunia bagi jam poket antik buatan Britain.
Jurutera lelongan berkata, J Player & Sons Hyper Complication Pocket Watch itu membuktikan kehebatan teknikal pembuatan jam tangan Inggeris pada era tersebut dan menyifatkannya sebagai antara jam tangan Inggeris paling rumit pernah dicipta.
Syarikat itu diasaskan pada 1858 oleh Joseph Player yang mencipta jam tanpa kunci pertama serta menghasilkan peranti untuk Royal Observatory.
Pada awal 1900-an, England merupakan pusat industri pembuatan jam dunia sebelum Switzerland mengambil alih kedudukan tersebut.
Jam itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dan disimpan oleh pemilik terdahulunya yang kekal dirahsiakan identitinya selama 51 tahun.
Lelongan dua hari itu menarik 1,885 pembida berdaftar dari 72 negara, manakala hampir 800 pengumpul dan peminat hadir secara fizikal untuk menyaksikannya. – AGENSI










