KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pelbagai langkah segera dan strategi jangka panjang bagi memastikan bekalan ubat-ubatan asas sentiasa mencukupi dan mampu milik
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM sentiasa memantau stok ubat secara bersepadu melalui Pharmacy Information System (PhIS) dengan notifikasi awal bagi mengelak kekurangan.
Katanya, mekanisme perolehan alternatif pula akan digunakan sekiranya berlaku gangguan pembekalan di bawah konsesi logistik atau kontrak pusat.
“Melalui Perolehan Bersama (pooled procurement), penyatuan kuantiti membolehkan kerajaan mendapat harga yang lebih kompetitif dan bekalan lebih stabil.
“KKM turut mengukuhkan pengeluaran tempatan melalui Skim Anak Angkat (SAA), Skim Panel Pembuat Bumiputera (SPPB) dan Skim Panel Pengilang Tempatan (SPPT) selain pelaksanaan Program Perjanjian Off-Take Plus (PPO Plus) bagi merangsang pelaburan dalam pengeluaran produk tempatan.
“Strategi diversifikasi pembekal turut dilaksanakan bagi mengelakkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) langkah mengatasi kekurangan bekalan dan kenaikan harga ubat-ubatan asas.
Tambahnya, pemerkasaan industri farmaseutikal tempatan turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan.
“Malaysia juga mengetuai Inisiatif Keterjaminan dan Kemandirian Ubat-Ubatan ASEAN (ADSSR) dengan pelan pelaksanaan 2026–2030 yang merangkumi perolehan pukal ASEAN dan simpanan stok serantau.
“Akses kepada ubat-ubatan mampu milik diperkukuh melalui semakan berkala Formulari Ubat KKM (FUKKM), peluasan Medicines Access Schemes (MASc) serta pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025,” katanya. – UTUSAN










