KUALA TERENGGANU: “Tidak pasti sampai bila mampu bertahan. Jika keadaan suram ini berterusan, kami terpaksa angkat kaki seperti peniaga-peniaga lain.”
Demikian luahan baki lebih 150 daripada kira-kira 400 peniaga di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini yang masih cekal bertahan walaupun perniagaan mereka tenat akibat aktiviti jualan sangat perlahan.
Kompleks yang pernah meriah dengan kunjungan orang ramai untuk membeli-belah terutama pada hujung minggu, cuti sekolah dan musim perayaan kini bertukar menjadi lengang serta suram sejak lebih 10 tahun lalu.
Tahun berganti tahun, seorang demi seorang peniaga sama ada menjual baju, tudung, barang kemas, beg, perkhidmatan menjahit baju dan kasut angkat kaki kerana sukar mendapatkan pelanggan dengan mencari kerja atau ke lokasi lain demi kelangsungan hidup.
Pengerusi Kompleks Hentian Bas MBKT, Mansur A. Rahman berkata, isu peniaga terjejas disebabkan kurang sambutan sejak lebih 10 tahun lalu dan berlarutan sehingga kini.
Katanya, kebanyakan peniaga yang bertahan adalah dalam kalangan mereka sudah berusia dan bertapak di situ sejak pengoperasian pada 1994.
Menurutnya, mereka tiada punca pendapatan lain dan berharap kepada pelanggan tetap walaupun hasil jualan merudum berbanding sekitar 2005 yang mana aktiviti perniagaan di kompleks hentian bas meriah serta menjadi tumpuan.
“Kebanyakan yang masih bertahan adalah peniaga menjahit pakaian atau kasut, menjual tudung dan membaiki seluar. Kedai menjual emas pun hanya tinggal sebuah yang masih ada.
“Bagaimana peniaga-peniaga lain hendak bertahan jika tidak mempunyai jualan selama seminggu. Suasana suram ini sudah mula dirasai lebih 10 tahun lalu dan keadaan bertambah buruk ketika pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mansur, walaupun kompleks hentian bas itu terletak di tengah-tengah bandar raya ini, kekurangan daya tarikan, ketiadaan tempat letak kereta, kemunculan pelbagai pasar raya dan trend pembelian secara dalam talian ibarat menenggelamkan aktiviti perniagaan di situ.
“Kami pernah mengesyorkan supaya dimasukkan pemborong-pemborong besar dan kedai ekonomi di situ tetapi tiada yang sanggup mengambil risiko.
“Masalah ini sudah berada dalam perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak beberapa tahun lalu namun perubahan yang diharapkan tidak berlaku. Semoga ada jalan keluar untuk menghidupkan kembali aktiviti perniagaan di sini,” katanya.-UTUSAN.










