900 buah sekolah telah terpilih sebagai sekolah Angkat MADANI

900 buah sekolah telah terpilih sebagai sekolah Angkat MADANI

FADHLINA Sidek (tiga dari kanan) bersama Ahmad Jailani Muhamed Yunus (kiri) ketika melakukan gimik peluncuran semasa Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di SK Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Lebih 900 buah sekolah telah dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di seluruh negara sejak ia mula diperkenalkan kira-kira lima bulan yang lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, 39 daripada sekolah tersebut berada di Pulau Pinang termasuk sembilan buah sekolah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.

“Dengan adanya inisiatif ini, adalah menjadi hasrat besar Kerajaan MADANI untuk melihat Sekolah Angkat MADANI ini benar-benar diberikan peluang dan menjadi sebahagian daripada agenda besar untuk pembentukan negara pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, hari ini.

Selain SK Sungai Bakap, sebuah lagi sekolah dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI pada hari ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah.

Dalam pada itu, Ahmad Jailani berkata, di bawah program Sekolah Angkat MADANI itu, kedua-dua buah sekolah iaitu SK Sungai Bakap dan SMK Tun Syed Sheh Barakbah akan diberi peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pelaksanaan perolehan aset dan sebagainya.

“Kami percaya generasi baharu ini sememangnya memerlukan teknologi terkini untuk membantu proses pembelajaran mereka dan dengan adanya program seperti ini di sekolah-sekolah mereka (yang terpilih), maka, mereka akan lebih maju dalam pendidikan. Itu harapan kita,” ujar beliau.

Selain pelaksanaan perolehan aset, peruntukan untuk sekolah yang terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI itu juga boleh digunakan bagi program keceriaan sekolah, pembangunan pendidikan pelajar serta perkhidmatan sosial yang merangkumi penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran.

Ia termasuk kerja-kerja menaik taraf makmal komputer, bilik mesyuarat, dewan sekolah, perolehan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti papan pintar (smart board) televisyen pintar (smart TV), peranti elektronik skrin sesentuh (tablet), set dron dan robotik dan lain-lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×