Bersih minta parti politik tanggung kos PM atas urusan parti

Bersih minta parti politik tanggung kos PM atas urusan parti

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti politik atau gabungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menanggung sepenuhnya kos perjalanan termasuk tambang kelas pertama bagi setiap perjalanan beliau dan rombongan bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan aset kerajaan.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam kenyataan berkata, langkah tersebut adalah antara mekanisme paling jelas untuk memisahkan urusan rasmi kerajaan dengan aktiviti politik, sekali gus menutup ruang penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan kempen.

“Jika Perdana Menteri menghadiri program parti, wajar parti atau gabungan beliau menanggung kos perjalanan termasuk tambang kelas pertama. 

“Ia bukan sahaja lebih telus, malah mengelakkan sebarang persepsi salah guna aset kerajaan,” katanya.

Bersih turut menjelaskan bahawa amalan itu bukan perkara baharu kerana pernah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyewa helikopter sendiri ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 2019.

Semalam, Anwar menjelaskan bahawa beliau dan menteri kabinet berhak menggunakan kenderaan rasmi serta pengiring atas faktor keselamatan, termasuk ketika berada di Sabah sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.

Namun, Bersih menegaskan justifikasi keselamatan tidak boleh dijadikan ‘cek kosong’ untuk membawa aset kerajaan ke program parti.

Menurut Bersih, pemerhatian sepanjang kempen mendapati beberapa program kerajaan seperti Jualan Ehsan Rakyat dianjurkan di kawasan pilihan raya, selain beberapa pengumuman peruntukan dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mewujudkan persepsi kelebihan kepada parti pemerintah.

“Antaranya, pengumuman peruntukan RM62.76 juta bagi 18 projek infrastruktur di Tawau oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 8 Oktober lalu yang menurut mereka mempunyai implikasi politik jelas.

“Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang adil dalam pilihan raya,” katanya.

Bersih turut menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi memperkukuh garis pemisahan antara sumber kerajaan dan parti politik.

“Kami telah mengemukakan cadangan Rang Undang-Undang pindaan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) untuk rujukan dan tindakan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Bersih menegaskan kerajaan perlu menghentikan semua program yang memberi manfaat material kepada pengundi sepanjang kempen kecuali perkhidmatan kritikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×