PETALING JAYA: Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) perlu digubal untuk memastikan peruntukan semua wakil rakyat sama ada blok pembangkang atau kerajaan dapat disalurkan dengan telus dan sama rata.
Menerusi langkah tersebut, akta itu bakal merangkumi sistem kawal selia pembangunan kawasan dan perbelanjaan wakil rakyat di samping satu formula pengagihan dengan mengambil kira jumlah pengundi di setiap kawasan.
Menurut kenyataan bersama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), mereka menyambut baik usaha kerajaaan untuk menyalurkan peruntukan kepada pembangkang, namun langkah itu perlu disertakan bersama satu sistem peruntukan pembangunan kawasan yang harus digubal menerusi akta undang-undang.
Justeru, mereka mencadangkan satu formula pengagihan CDF yang jelas, telus dan saksama.
“Satu Jawatankuasa CDF di mana ahlinya terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang harus ditubuhkan untuk menyemak imbang pengagihan dan pengurusan CDF.
“Perlu ditekankan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) walaupun diperlukan sekarang, tidak memadai untuk jangka masa panjang.
“Ketidakpastian dalam arena politik kita menuntut semua inisiatif reformasi institusi dimaktubkan melalui undang-undang supaya mengikat kerajaan yang bakal berkuasa pada masa hadapan.
“Pemberian peruntukan secara berat sebelah adalah amalan politik lapuk yang perlu ditinggalkan dalam kerangka membentuk politik negara yang lebih matang, berdaya saing dan progresif,” kata kenyataan itu, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Rabu lalu.
Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu berkata, satu MoU akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.
Sebaliknya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) mahu meneliti semua syarat dalam draf MoU yang disiapkan kerajaan berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Mengulas lanjut, Ideas dan Bersih berkata, pihaknya berharap penggubalan Akta CDF itu akan menjadi salah satu komitmen kerajaan dan pembangkang demi menamatkan amalan diskriminasi kepada mana-mana parti yang menjadi pembangkang kelak.
“Penggubalan Akta CDF ini juga boleh dimulakan di peringkat negeri, di mana rundingan di antara pihak kerajaan dan pembangkang dilihat lebih terbuka,” katanya. – UTUSAN









