Segera laksana reformasi, cegah kleptokrat baharu

Segera laksana reformasi, cegah kleptokrat baharu

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Reformasi terhadap kuasa pelantikan jawatan tertinggi khususnya badan kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera dilakukan supaya institusi berkenaan bebas daripada pengaruh kuasa Eksekutif bagi mengelakkan kemunculan kleptokrat baharu.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, kerajaan juga perlu segera melaksanakan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi mengelakkan berlakunya pendakwaan bermotifkan politik terhadap musuh politik kerajaan.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak disambung, malah wajar meletakkan jawatan susulan keputusan mahkamah yang menyatakan wang yang masuk ke akaun Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, namun akhirnya dibuktikan sebagai dana milik 1MDB.

“Keputusan ini berbeza dengan kenyataan yang pernah dibuat Azam pada 2015 ketika beliau memegang jawatan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Bersih, agensi penguatkuasa perlu bebas dan berani membawa mana-mana individu ke muka pengadilan khususnya mereka diberi amanah memegang kuasa tetapi memilih untuk menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi dan pihak tertentu, bukannya melindungi rakyat.

“Hanya dengan kebebasan sedemikian, kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan negara dapat dipulihkan dan diangkat ke tahap yang sepatutnya.

“Bersih turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang turun ke jalanan sebagai tanda penolakan terhadap budaya rasuah dan korupsi, sekali gus membuktikan amalan tersebut bukan budaya rakyat negara ini,” katanya.

Bersih berkata, pertuduhan, pendakwaan dan keputusan mahkamah terhadap Najib merupakan hasil perjuangan serta pengorbanan aktivis, pengamal media, rakyat dan ahli politik yang sanggup mempertaruhkan reputasi, kehidupan serta kesenangan demi membawa kleptokrat ke muka pengadilan.
Katanya, perhimpunan Bersih 4 dan Bersih 5 yang digerakkan sebelum ini adalah reaksi rakyat terhadap skandal terbesar negara selepas pendedahan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun seorang Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi termasuk keputusan terdahulu dalam kes melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. tidak seharusnya menjadi penamat kepada perjuangan menentang kleptokrasi dan korupsi.

“Keputusan tersebut tidak membawa makna sekiranya Kerajaan Madani gagal mengambil langkah mencegah kemunculan kleptokrat baharu melalui pelaksanaan reformasi institusi dan pembaharuan sistem pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN