PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia meningkat 13.6 peratus kepada RM277.6 bilion pada Oktober 2025 daripada RM244.5 bilion, sekali gus mencatat sejarah baharu dengan nilai dagangan tertinggi pernah direkodkan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Prestasi kukuh ini didorong oleh pertumbuhan eksport sebanyak 15.7 peratus dan import pada 11.2 peratus, masing-masing melonjak kepada RM148.3 bilion dan RM129.3 bilion, sekali gus mencatat sejarah baharu sebagai nilai eksport dan import tertinggi dalam sejarah.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia meningkat pada Oktober 2025, dipacu oleh peningkatan dalam eksport semula dan eksport domestik.
Katanya, eksport semula merangkumi 26.4 peratus daripada jumlah eksport, dengan pertumbuhan tahunan 36.4 peratus kepada RM39.1 bilion.
“Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 73.6 peratus daripada jumlah eksport negara, meningkat kepada RM109.2 bilion. Pada masa yang sama, import turut meningkat kepada RM129.3 bilion, naik 11.2 peratus.
“Lebihan dagangan naik 58.9 peratus kepada RM19.0 bilion, mencatatkan lebihan dagangan 66 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Berbanding dengan September 2025, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 6.7 peratus, 8.9 peratus dan 7.7 peratus.
“Namun begitu, lebihan dagangan menurun 6.1 peratus daripada RM20.0 bilion kepada RM19.0 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Uzir berkata, mengikut pecahan kumpulan barangan, 152 daripada 259 kumpulan eksport dan 137 daripada 259 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan eksport turut didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan ke Singapura (RM5.1 bilion), diikuti oleh Hong Kong (RM2.7 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.5 bilion), Taiwan (RM2.3 bilion), Mexico (RM1.9 bilion), China (RM1.2 bilion) dan Vietnam (RM1.1 bilion).
“Selain itu, peningkatan import pula disumbangkan oleh kemasukan barangan yang lebih kukuh dari China (RM8.7 bilion), diikuti oleh Taiwan (RM3.2 bilion), Costa Rica (RM2.8 bilion), Vietnam (RM2.2 bilion), Jepun (RM756.2 juta), Australia (RM698.3 juta) dan Hong Kong (RM666.5 juta),” jelasnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, beliau berkata, kenaikan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik & elektronik (E&E) sebanyak RM14.0 bilion.
Beliau berkata ia turut disumbangkan oleh minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit sebanyak RM1.8 bilion, barangan optik & saintifik (RM1.6 bilion); barangan perkilangan logam (RM1.1 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (RM961.6 juta); serta barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM764.1 juta).
“Selain itu, peningkatan import disumbangkan oleh kemasukan yang lebih tinggi bagi barangan E&E (RM12.6 bilion); bijih logam & serpihan logam (RM1.4 bilion); barangan perkilangan logam (RM765.3 juta); keluaran perkilangan lain (RM523.8 juta); barangan optik & saintifik (RM459.9 juta); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM377.5 juta),” katanya.
Mohd Uzir berkata, kenaikan import mengikut penggunaan akhir disebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan modal dan barangan penggunaan.
“Barangan modal (14.5 peratus daripada jumlah import) meningkat 51.9 peratus atau RM6.4 bilion kepada RM18.7 bilion,” jelasnya. – UTUSAN











