WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan Akta Ketelusan Fail Epstein, sekali gus mengarahkan pembebasan dokumen kerajaan berkaitan pesalah seksual Jeffrey Epstein.
Keputusan itu dicapai selepas Presiden Donald Trump menarik balik bantahannya, walaupun sebelum ini beliau menekan sekutunya agar menghalang pendedahan tersebut.
Langkah berkenaan dibuat ketika semakin ramai ahli perundangan menegaskan orang ramai berhak mengetahui maklumat penuh mengenai kes Epstein yang melibatkan lebih 1,000 mangsa didakwa.
Epstein, seorang ahli kewangan berprofil tinggi, mati dalam tahanan persekutuan pada 2019 dengan kematiannya diputuskan sebagai bunuh diri.
Trump sebelum ini mendakwa pendedahan fail itu akan mendedahkan hubungan tokoh Demokrat berpengaruh dengan Epstein, namun beliau sendiri turut berdepan penelitian berhubung hubungan lamanya dengan lelaki terbabit.
Dalam satu kenyataan, Trump menegaskan dirinya “tiada kaitan” dengan Epstein dan mendakwa pernah mengusirnya daripada kelab miliknya.
Jabatan Kehakiman masih mempunyai kuasa untuk menahan dokumen tertentu sekiranya pendedahannya boleh menjejaskan siasatan persekutuan yang sedang berjalan.
Tindakan Trump mengarahkan siasatan ke atas hubungan tokoh Demokrat dengan Epstein minggu lalu turut mencetuskan kritikan luas.
Keadaan dalam Parti Republikan semakin tegang selepas Trump menarik balik sokongannya terhadap sekutu rapatnya, Marjorie Taylor Greene, yang mendakwa keputusan itu berpunca daripada tekanan berkaitan fail Epstein.










