Ramai pakar nuklear luar berminat tawar kepakaran - Utusan Malaysia

Ramai pakar nuklear luar berminat tawar kepakaran

Kampung Papan
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakar-pakar ber­kaitan loji jana tenaga berasaskan teknologi nuklear dari luar bersedia datang ke negara ini, khususnya di Selangor bagi membantu meneroka penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui itu.

Bagaimanapun, Selangor ti­dak mahu mengambil langkah tergesa-gesa dalam penerokaan sektor tenaga itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan tenaga pakar tempatan sebagai permulaan, sebelum memulakan proses pembinaannya lima tahun lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semasa melawat ke beberapa buah negara, pakar terlibat menyatakan kesediaan pada bila-bila masa sahaja untuk datang.

“Tetapi bagi saya biar kita bersedia terutama daripada segi kekuatan dan keupayaan sendiri. Itu yang sedang ditumpukan dari (di peringkat) awal sebelum (berbanding) kita membawa teknologi itu dengan tergesa-gesa dan mungkin akan me­nimbulkan keresahan kepada masyarakat tanpa ada persedia­an yang rapi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, Selangor bakal memiliki loji tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui dalam tempoh lima tahun lagi.

Pembinaan loji tenaga nuklear amat diperlukan kerana ne­geri ini tidak mampu lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan bakar sedia ada yang tidak les­tari berbanding tenaga nuklear.

Amirudin berkata, buah fi­kiran penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui itu masih di peringkat awal dan tumpuan kini diberikan kepada penelitian atau pemahaman terhadap model-model sedia ada.

Jelasnya, potensi tersebut merupakan peluang yang tidak seharusnya dilepaskan apabila terdapat seorang tenaga pakar tempatan bekerja di loji janakuasa nuklear di China.

“Saya anggap dia sebagai satu permata yang patut dibawa balik dan boleh mengembangkannya di Malaysia (bersama) beberapa tenaga pakar lain (yang sudah dilatih),” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Gombak itu menyatakan, Selangor sebagai sebuah negeri industri tidak lagi boleh bergantung kepada sumber tenaga berasaskan fosil atau brown energy yang semakin berkurangan.

“Di masa depan kita kena bersedia dari segi sumber tenaga. Kalau kita mengharapkan kepada sumber tenaga fosil seperti gas ataupun arang batu, jumlah depositnya juga semakin berkurang.

“Malah, kalau dari masa ke masa kita terus bergantung sepenuhnya dengan import (pula), kosnya lebih mahal. Sekarang, bagaimana pula di masa depan kalau kita sudah kehabisan atau kekeringan sumber?

“Sebab itu saya meletakkan sasaran lima tahun pembinaan kapasiti, plan of action, blueprint (rangka tindakan) yang kita akan bangunkan secara komprehensif menerusi libat urus dengan masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×