PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan instrumentasi dan ujian geoteknikal, Glostrext Berhad (Glostrext), mencatat keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM3.48 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2025 berbanding RM800,000 yang diraih dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Syarikat turut merekodkan peningkatan hasil 128.1 peratus kepada RM16.48 juta berbanding RM7.23 juta pada suku sama tahun lalu, didorong terutamanya pelaksanaan projek lebih tinggi dalam segmen instrumentasi cerucuk dan ujian beban statik di Singapura.
Bagi tempoh enam bulan pertama pula, keuntungan bersih naik 105.5 peratus kepada RM6.39 juta, berbanding RM3.11 juta tahun lalu, manakala hasil meningkat 92 peratus kepada RM30.86 juta.
Singapura kekal sebagai pasaran utama, menyumbang 59.2 peratus atau RM18.27 juta, manakala Malaysia menyumbang 40.7 peratus atau RM12.55 juta, dipacu penglibatan yang semakin meningkat dalam pembangunan berkaitan pusat data.
Pengarah Urusan Glostrext, Ir. Dr. Lee Sieng Kai berkata, prestasi lebih kukuh itu didorong peningkatan volume projek dalam instrumentasi cerucuk dan ujian beban statik.
“Ini selain produktiviti lebih baik serta permintaan berterusan daripada projek infrastruktur di Singapura dan aktiviti pembinaan berkaitan teknologi di Malaysia.
“Prestasi suku kedua mencerminkan kekuatan keupayaan teras kami, disokong pelaksanaan projek yang berdisiplin di Singapura dan Malaysia, manakala Integrasi Powertecs turut memperluas asas pendapatan dan mewujudkan peluang jualan silang,” katanya dalam kenyataan.
Suku berkenaan turut menyaksikan sumbangan tambahan daripada Powertecs System Sdn. Bhd. dan Powertecs Electric Sdn. Bhd., yang diperoleh awal tahun ini, sekali gus menambah aliran pendapatan baharu daripada sistem UPS, alternator dan aksesori.
Ketika suku dikaji, jumlah tunai dan bank syarikat meningkat kepada RM13.45 juta berbanding RM11.69 juta setahun lalu, manakala keseluruhan pinjaman berkurang kepada RM5.92 juta daripada RM8.86 juta sebelumnya..
Beliau berkata, syarikat komited memperkukuh pendekatan berasaskan teknologi, termasuk penggunaan sistem berasaskan WiNA, yang dijangka meningkatkan peluang pertumbuhan dalam segmen infrastruktur, bangunan dan pusat data.
Melihat ke hadapan, Glostrext kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap prestasi tahun kewangan 2026 dengan permintaan bagi perkhidmatan instrumentasi geoteknikal dan ujian cerucuk dijangka kekal stabil hasil pembangunan awam dan swasta di Singapura dan Malaysia.
Sementara itu, di Singapura, kerja berterusan bagi projek infrastruktur utama termasuk pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi terus menyokong jangkaan pendapatan.
Bagi Malaysia pula, projek pusat data yang sedang dibangunkan dijangka menyumbang lebih kukuh apabila pembinaan memasuki fasa lebih aktif.
Glostrext turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 0.5 sen sesaham, berjumlah RM2.09 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Tarikh kelayakan ditetapkan pada 15 Disember 2025 dengan pembayaran dijadualkan pada 2 Januari 2026. – UTUSAN










