KUALA LUMPUR: Representasi dua lelaki warga China yang didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron di kawasan terlarang Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang dipertimbangkan oleh oleh Jabatan Peguam Negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin yang turut mengesahkan pihaknya telah menerima representasi daripada Li Luorong, 27, dan Chen Junhao, 20, pada 22 Oktober lalu.
Hakim Suhaila Haron kemudian menetapkan 7 Januari 2026 untuk mengetahui status representasi berkenaan.
“Peguam bela sudah menghantar surat representasi. Oleh itu, saya memohon tarikh sebutan semula untuk jawapan. Ini merupakan representasi pertama dan masih dalam pertimbangan AGC,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Ooi Hong Ming yang mewakili kedua-dua tertuduh turut mengesahkan mengenai penghantaran representasi tersebut.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan 27 hingga 30 April serta 4 dan 6 Jun 2026 sebagai tarikh perbicaraan.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua warga China itu didakwa bersama-sama dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara iaitu mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan tanpa kebenaran.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Padang Bola B Mindef, Jalan Padang Tembak di sini pada pukul 11.50 pagi, 6 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa pada lokasi, tarikh dan masa yang sama, mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










