KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak pernah menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan peribadi.
Kata Perdana Menteri, semua penggunaan aset dibuat atas pertimbangan keselamatan termasuk ketika menghadiri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah baru-baru ini.
“Kelonggaran diberikan, Perdana Menteri mesti guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa program sebab pertimbangan security, jadi saya gunakan begitu.
“Program (di Sabah) tidak ada program kerajaan. Semua kempen atas nama parti.
“Saya harap semua yang berhormat faham sebab dalam peraturan kerajaan, memang seorang Perdana Menteri selayaknya menggunakan (kenderaan rasmi) kerana ini soal keselamatan yang di luar daripada pertimbangan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai penggunaan aset kerajaan berupa kapal terbang yang digunakan Anwar ketika menghadiri kempen parti ketika PRN di Sabah.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menetapkan garis panduan jelas supaya program kempen parti tidak melibatkan sebarang agensi atau institusi kerajaan.
“Saya melarang. Ada program masa ‘Temu Anwar’ dibuat di universiti jadi saya batalkan dan tukar tempat.
“Ini kerana saya tidak mahu universiti secara rasmi terlibat menganjurkan program ‘Temu Anwar’ dengan anak-anak muda,” katanya. – UTUSAN











