DIKENALI lantang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berani menyuarakan kebenaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, DATUK MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM, muncul sebagai antara figura muda yang membawa nafas baharu dalam politik Melaka.
Beliau bukan sahaja fokus terhadap pembangunan fizikal dan kebajikan rakyat, malah menekankan kejujuran, keberanian membuat keputusan serta tindakan pantas sebagai teras kepimpinan.
Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Utusan Malaysia, AMRAN ALI serta jurufoto ARIF HAMIZAN MISKON, beliau berkongsi pandangan tentang cabaran mentadbir, strategi mengekalkan sokongan rakyat dan visinya menjadikan Duyong sebagai model pentadbiran politik berprinsip serta berpaksikan khidmat sebenar.
Datuk kini mentadbir kawasan pinggir bandar dengan lebih 36,000 penduduk. Apa cabaran utama selepas diberi mandat?
Mentadbir Duyong bukan sekadar tugas pentadbiran tetapi mengurus harapan masyarakat yang berbeza latar. Sewaktu menerima mandat, saya dapati sistem sedia ada tidak tersusun dan tidak responsif. Langkah pertama saya ialah merombak struktur pentadbiran supaya lebih cekap, selaras dan berfokus.
Saya tidak mahu hanya bertindak setelah menerima aduan. Kini semua laporan rakyat direkod dan dikategorikan mengikut keutamaan agar tindakan lebih sistematik.
Walaupun perubahan ini tidak digemari semua pihak, kepimpinan sebenar memerlukan keberanian membuat keputusan, bukan mengejar populariti. Saya sentiasa menekankan kejayaan politik bermula daripada disiplin pentadbiran. Jika sistem lemah, niat baik tidak akan berhasil.
Setiap tindakan kini direkod untuk memastikan ketelusan. Dalam tempoh setahun, perubahan ini mulai membuahkan hasil, bukan sahaja melalui peningkatan kecekapan tetapi juga melalui kepercayaan rakyat yang semakin kukuh.
Adakah perubahan itu menjejaskan sokongan rakyat?
Dalam setiap pembaharuan pasti ada penolakan. Ada yang kurang senang dengan perubahan sistem kerja, namun politik bukan soal populariti tetapi keberanian memperbetul keadaan demi masa depan rakyat.
Jika saya hanya memikirkan undi, saya tidak akan berani melakukan perubahan. Saya lebih bimbang jika rakyat hilang keyakinan kerana masalah berlarutan, seperti isu banjir di Desa Duyong yang tidak selesai selama 15 tahun.
Saya mengambil risiko berunding terus dengan pemilik tanah walaupun dibantah dan kini 90 peratus kawasan bebas banjir. Apabila tindakan tegas membawa hasil, rakyat akhirnya menghargainya.
Saya percaya rakyat menilai keikhlasan dan hasil. Politik bukan sandiwara tetapi keberanian menghadapi realiti. Bila keberanian menghasilkan perubahan, sokongan datang sendiri. Saya lebih rela kehilangan undi daripada kehilangan maruah dan amanah.
Datuk sering dilihat lantang dan tegas. Adakah gaya ini disengajakan?
Ketegasan saya lahir daripada prinsip kerja, bukan emosi. Pengalaman mengurus lebih 40 pekerja sebelum menjadi wakil rakyat membentuk disiplin. Dalam politik, banyak keputusan tergendala kerana tiada keberanian menegur atau menetapkan standard kerja yang jelas.
Saya bukan mahu tunjuk keras kepala tetapi jika tidak tegas, amanah rakyat akan diambil mudah. Kuasa politik bukan hak tetapi tanggungjawab. Rakyat tidak pilih kita untuk diam tetapi untuk menegur dan memperjuangkan hak mereka.
Namun ketegasan mesti disertai empati. Saya cuba faham tekanan agensi dan cabaran di lapangan. Bila turun padang, saya sedar tegas mesti seiring bijaksana.
Saya mahu rakyat lihat saya bukan pemarah tetapi pemimpin yang tidak sanggup melihat rakyat menanggung akibat kelekaan sistem. Bila ketegasan disertai keikhlasan, ia akan dihormati.
Datuk terkenal kerana cepat bertindak. Bagaimana ia boleh dijadikan senjata politik khidmat?
Politik hari ini dinilai melalui keberkesanan tindakan, bukan janji. Di Duyong, saya wujudkan sistem aduan bersepadu supaya setiap laporan rakyat dapat disemak dan diselesaikan segera. Banyak aduan dapat diselesaikan dalam 24 jam hasil sistem dan pasukan yang cekap.
Saya latih pasukan agar setiap aduan dianggap keutamaan. Kalau satu rumah rosak, itu maruah keluarga. Kalau warga emas perlukan kerusi roda, itu hak kemanusiaan. Bila kita melihat setiap kes sebagai keutamaan, tindakan jadi tangkas.
Kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan agensi lain juga mempercepat bantuan.
Bagi saya, politik khidmat bukan tentang program besar tetapi keberanian mendengar dan bertindak segera. Bila sistem berfungsi dan rakyat rasa dihargai, keyakinan terhadap kerajaan turut meningkat. Inilah politik sebenar yang saya perjuangkan.
Bagaimana mengekalkan keharmonian pelbagai kaum sambil menggerakkan pembangunan setempat?
Duyong unik kerana kepelbagaian penduduknya. Terdapat empat masjid, 24 surau dan tujuh tokong, namun masyarakatnya hidup harmoni. Bagi saya, perpaduan lahir daripada keadilan. Ketika membantu rakyat, saya tidak melihat agamanya, hanya masalah yang perlu diselesaikan.
Saya mahu Duyong menjadi model kawasan yang memanfaatkan institusi agama untuk pembangunan masyarakat. Sebab itu saya memperkenalkan konsep masjid berdikari dengan pihak masjid membuka kafe, mengurus parkir berbayar atau menyewa lot kedai kepada peniaga kecil. Masjid yang kukuh ekonomi mampu membantu kariah tanpa bergantung kepada derma semata-mata.
Setiap inisiatif dilaksana dengan panduan Mufti Melaka dan pihak berkuasa agama agar selaras dengan hukum. Matlamatnya ialah menjadikan masjid pusat ibadah, pembangunan sosial dan peluang ekonomi, sekali gus menarik anak muda kembali kepada institusi agama.
Hubungan dengan masyarakat bukan Islam juga akrab. Ada tokong yang menyertai program kebersihan bersama masjid, dan komuniti Cina turut menyumbang untuk program anak yatim Islam. Inilah wajah Malaysia sebenar, saling menghormati dan bekerjasama atas dasar kemanusiaan.
Apabila keadilan dipraktikkan, masyarakat pelbagai kaum yakin pemimpin bekerja untuk semua. Ini bentuk politik harmoni yang saya perjuangkan, bukan hanya untuk Duyong tetapi untuk Melaka seluruhnya.
Datuk dikenali aktif dalam bidang pendidikan. Adakah itu strategi politik jangka panjang?
Pendidikan bagi saya asas kemajuan masyarakat. Sebab itu saya tubuh Program Tuisyen Percuma Duyong sejak 2022. Ia bukan sekadar bantu calon SPM tetapi pelajar sekolah rendah dan tahfiz yang perlukan bimbingan membaca dan bahasa Inggeris.
Hasilnya nyata, pelajar yang tidak boleh membaca kini lancar dalam tiga bulan. Program ini disokong ibu bapa, guru dan komuniti tanpa paksaan kerana mereka nampak hasilnya.
Politik sebenar ialah membina ekosistem kasih sayang dan ilmu, bukan janji kosong. Saya mahu anak muda faham pendidikan ialah pelaburan jangka panjang.
Pemimpin mesti kuasai ilmu dan akhlak. Bila rakyat nampak kesungguhan ini, mereka tahu perjuangan ini bukan untuk lima tahun pilihan raya tetapi untuk 50 tahun masa depan bangsa.
Bagaimana menilai landskap politik Melaka dan kedudukan Duyong?
Politik Melaka kini lebih matang, rakyat menilai siapa bekerja, bukan siapa bercakap. Duyong menjadi medan ujian, jika kawasan ini maju, bersih dan harmoni, ia membuktikan politik boleh membina, bukan memecah.
Di Duyong, saya bukan sekadar urus projek kecil, tetapi membina sistem politik kerja nyata. Setiap tindakan dinilai berdasarkan hasil, bukan persepsi. Saya turun sendiri untuk aduan dan cari penyelesaian, bukan alasan, supaya rakyat yakin tanpa perlu ceramah panjang.
Hubungan baik dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan juga penting. Dengan hormat peranan mereka, projek infrastruktur dan kebajikan dapat disegerakan secara berpasukan, bukan persaingan pengaruh.
Bagi politik negeri, generasi muda perlu pendekatan baharu iaitu berani, berdisiplin dan fokus pada prestasi. Duyong menjadi ‘mini model negeri’, aman, bersih, maju dan rakyat puas hati. Ia membuktikan politik kerja nyata boleh menggantikan politik drama, menjadikan politik alat penyelesaian, bukan sumber masalah.
Bagaimana melihat peranan wakil rakyat muda seperti Datuk sendiri dalam mengekalkan kestabilan kerajaan negeri?
Kestabilan politik datang daripada keikhlasan bekerja. Wakil rakyat muda mesti jadi jambatan antara generasi dan berani melakukan pembaharuan tanpa menolak nilai lama yang baik. Populariti boleh datang dan pergi tetapi hasil kerja kekal dalam ingatan rakyat.
Pemimpin muda mesti berani berbeza dan mencabar cara lama yang tidak lagi sesuai. Kestabilan bukan alasan untuk tidak berubah, sebaliknya peluang membetulkan dasar dan memperkukuh integriti pentadbiran. Bila kerajaan stabil, inilah masa terbaik untuk reformasi sebenar.
Akhirnya, kestabilan politik bergantung kepada keikhlasan menolak budaya kepentingan diri. Politik bukan medan mencari jawatan tetapi ruang mengabdikan tenaga untuk rakyat.
Media sosial kini menjadi medan utama politik. Bagaimana Datuk menggunakan kelebihan ini?
Saya melihat media sosial bukan sekadar ruang promosi tetapi platform mendidik rakyat. Ramai keliru kerana menerima maklumat separuh benar. Maka, saya gunakan media sosial untuk menerangkan proses kerajaan dan perjalanan keputusan supaya rakyat faham konteks sebenar.
Saya tidak jadikan media sosial medan menyerang peribadi. Politik mesti kekal beradab walaupun berbeza pandangan. Saya lebih suka hantaran yang memberi nilai dan ilmu daripada sekadar tular.
Saya juga menolak budaya konten berbayar. Media sosial perlu mencerminkan realiti kerja sebenar. Jika di luar sibuk berjanji tetapi masalah tidak selesai, rakyat akan tahu. Bagi saya, komunikasi mesti jujur dan seimbang antara dunia maya dan nyata.
Bagaimana menilai politik semasa yang semakin dikuasai persepsi media sosial?
Politik hari ini hidup di dua alam, nyata dan maya. Ada pemimpin hebat di media sosial tetapi gagal di lapangan, dan sebaliknya.
Saya gunakan media sosial untuk mendidik, bukan mencipta sensasi. Bila rakyat faham proses kerja, mereka lebih menghargai usaha kita.
Saya berhati-hati dalam komunikasi dan kawal naratif dengan fakta, bukan emosi. Media sosial bukan gelanggang partisan tetapi tempat menjelaskan hasil kerja. Rakyat mahu lihat keputusan, bukan drama politik berpanjangan.
Keseimbangan dua dunia ini penting. Tak guna ramai pengikut jika kawasan terabai. Media sosial mesti mencerminkan realiti kerja sebenar, barulah kredibiliti pemimpin terbina.
Pendekatan dalam menghadapi lawan politik di peringkat kawasan dan negeri?
Saya tidak pernah melihat lawan politik sebagai musuh. Mereka juga anak Melaka, dan kita semua akhirnya mahu perkara sama, rakyat hidup sejahtera, ekonomi berkembang, masyarakat harmoni. Bezanya cuma pendekatan dan keutamaan.
Politik yang matang tidak perlu bermusuh, cukup berbeza cara dan pandangan. Saya tidak balas serangan dengan serangan. Saya balas dengan keputusan dan hasil kerja. Bila rakyat nampak perubahan berlaku, mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja. Itu lebih kuat daripada apa jua kenyataan di media sosial.
Saya percaya rakyat kini menilai berdasarkan bukti bukan ucapan. Dan bukti paling kuat ialah tindakan yang membawa hasil.
Dalam politik, kita tidak boleh cepat melatah. Bila orang menyerang, saya tenang. Saya lihat dahulu, adakah kritikan itu ada asas. Kalau betul, saya perbaiki. Kalau tidak benar, saya biarkan kerja saya menjawab. Lama-kelamaan, rakyat akan nampak sendiri siapa yang bersungguh dan siapa yang hanya mencari perhatian.
Saya juga percaya budaya politik mesti berubah daripada konfrontasi kepada kolaborasi. Dalam banyak isu setempat, saya tidak teragak-agak bekerjasama dengan pemimpin parti lain jika ia untuk kepentingan rakyat. Rakyat tidak peduli parti mana yang membantu, mereka hanya peduli masalah mereka selesai atau tidak.
Saya mahu politik Duyong jadi politik penyelesaian. Lawan politik saya boleh menentang saya di pentas, tetapi jangan halang kebaikan sampai kepada rakyat. Saya tidak mahu menang dengan memburukkan orang lain. Saya mahu menang dengan memperbaiki kehidupan orang lain. Itulah politik yang saya pegang.
Ada kata Datuk terlalu keras terhadap agensi dan kakitangan. Komen?
Tegas bukan bererti kasar. Saya percaya disiplin ialah kunci kejayaan. Bila diberi amanah, setiap kelewatan mesti dianggap serius. Saya tidak marah orang yang bekerja, saya hanya tegur bila kerja tidak dibuat. Teguran tanda tanggungjawab, bukan mencari salah.
Saya turun padang bersama pegawai supaya mereka tahu saya bukan sekadar beri arahan. Dari situ wujud rasa hormat dua hala. Persepsi keras mungkin timbul tetapi lebih baik tegas daripada lembik. Dalam politik, kita perlu seimbang, tegas pada prinsip, lembut pada manusia.
Bila rakyat nampak hasilnya, mereka tahu ketegasan itu demi mereka. Itulah beza antara pemimpin berdisiplin dan pemimpin yang hanya mahu disukai.
Hala tuju politik jangka panjang, khususnya selepas penggal ini?
Politik bagi saya bukan kerjaya peribadi tetapi amanah yang membawa tanggungjawab besar. Fokus saya ialah membina sistem yang kekal memberi manfaat, bukan mengejar jawatan, supaya kejayaan pemimpin diukur melalui keberlangsungan sistem selepas mereka tiada.
Di Duyong, saya ingin memperkukuh kestabilan dan memperluas model politik khidmat berasaskan disiplin, ketelusan dan kejujuran ke seluruh negeri. Jika berjaya di sini, ia boleh diterapkan di kawasan lain.
Saya juga mahu memperkasa generasi muda agar berani bercakap benar, membuat keputusan tegas dan melihat politik sebagai ruang memberi nilai, bukan mencari keuntungan.
Selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan terus berkhidmat. Jika tidak, saya tetap akan berbakti melalui pendidikan, kebajikan atau pembangunan komuniti. Saya mahu dikenang sebagai pemimpin yang bekerja jujur, turun padang dan membuktikan politik kerja nyata masih relevan.
Akhir sekali, apakah mesej Datuk kepada penduduk Duyong dan anak muda Melaka?
Politik bukan pentas janji manis tetapi ruang untuk berkhidmat dengan jujur. Saya mahu anak muda melihat politik sebagai peluang mencipta perubahan, bukan sesuatu yang kotor. Keberanian berpegang pada prinsip dan nilai lebih penting daripada populariti atau emosi.
Kepada pengundi Duyong, terima kasih atas kepercayaan. Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi berjanji bekerja tanpa henti demi kemajuan, kebersihan dan kesejahteraan kawasan ini.
Walaupun tidak semua keputusan disenangi, setiap tindakan dibuat dengan pertimbangan dan tanggungjawab. Selagi diberi amanah, saya akan terus membuktikan keberanian dan kejujuran mampu mengubah persepsi terhadap politik. Ini adalah perjuangan saya menjadikan politik khidmat sebagai wadah sebenar rakyat.-UTUSAN










