Warna biru dan hijau teal diramal menjadi pilihan ramai pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.
Selain itu, coklat yang pernah popular semasa Syawal lalu dijangka kekal digemari terutama dalam kalangan peminat palet hangat dan klasik.
Jurugaya KWC Fashion Wholesale (KWC), Ruby Bujang berkata, pilihan material pula tertumpu kepada fabrik organza dan sifon bersulam.
“Saya jangkakan perincian lebih minimalis dengan kemasan pada leher, tangan atau kaki baju.
“Bagi potongan pula, gaya longgar dan selesa mungkin menjadi trend baju kurung serta kebaya pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pada Previu Koleksi Raya 2026 baru-baru ini.
Menurut Ruby, koleksi Syawal itu mula dipasarkan kepada pelanggan sejak bulan lalu.
Istimewanya, setiap bulan, pelbagai rekaan baharu akan ditampilkan sehingga tiba musim perayaan.
“Pelanggan juga berpeluang mendapatkan rekaan terkini bagi pakaian kasual dan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Menurut Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC, Wendy Lam, pusat beli-belah itu memiliki lebih daripada 800 kedai yang menawarkan pelbagai jenis produk fesyen.
Semua rekaan sedia untuk jualan borong, sekali gus memudahkan peniaga, pemilik butik dan pembeli fesyen menempah koleksi perayaan lebih awal.
“Previu ini menonjolkan keindahan rekaan fesyen perayaan sambil memberi peluang kepada semua untuk melihat trend raya akan datang.
“KWC sebagai hab fesyen terkemuka Malaysia, berbangga berkongsi trend perayaan yang membentuk landskap fesyen tempatan sambil menyokong bakat kreatif,” katanya.-UTUSAN










