PATI ‘hanyut’ rela ke Malaysia untuk kehidupan baru - Polis

PATI ‘hanyut’ rela ke Malaysia untuk kehidupan baru – Polis

REMAJA Rohingya berusia 18 tahun antara PATI dari Myanmar yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Malaysia-Thailand berhampiran Langkawi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar rela bersusah payah menempuh perjalanan sukar untuk ke negara ini kononnya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.

Maklumat itu diperoleh hasil siasatan pihak polis terhadap 14 migran yang terselamat dalam tragedi bot karam di sempadan Malaysia-Thailand, berhampiran Langkawi 6 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tiada unsur paksaan atau penderaan terhadap PATI terlibat kerana mereka mengakui sememangnya mahu ke negara ini atas kerelaan sendiri.

“Setakat ini, tidak ada kesalahan berkaitan pemerdagangan orang walaupun kita kembangkan siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, sama ada penderaan atau pujuk rayu semua ini tidak ada.

“Memang migran ini mendakwa rela untuk berhijrah mendapat kehidupan baru dengan bekerja dan sebagainya di negara kita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia diyakini menjadi destinasi akhir PATI dari Myanmar itu sebelum bot dinaiki karam yang mengorbankan 29 nyawa setakat ini.

Adzli berkata, mangsa turut memaklumkan mereka diiringi oleh sekurang-kurangnya lima individu dipercayai ejen dalam pelayaran dari Myanmar menuju ke sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Katanya, kesemua ejen dipercayai rakyat asing itu mengarahkan migran terlibat untuk mengemudi sendiri bot kecil setelah mereka dipindahkan daripada kapal induk yang dinaiki kira-kira 300 PATI lain.

“Ada nama (ejen) yang disebut tetapi ianya sekadar secara lisan tanpa ada apa-apa pengenalan rasmi. Kalau ada perkembangan ataupun kita dapat kenal pasti ejen ini termasuk dengan kerjasama polis negara jiran kita akan tangkap dan siasat sehingga pendakwaan.

“Kita juga ada jumpa beberapa catatan daripada mangsa seperti nombor telefon dan nama yang mana kita sedang siasat dan berdasarkan keterangan mangsa kita percaya kegiatan sindiket ini berpangkalan di sana.

“Malah, ada mangsa berkata bayaran akan dibuat oleh saudara mereka kepada sindiket yang beroperasi di negara itu dan ada juga yang beritahu keluarga akan bayar secara ansuran apabila mereka tiba dan mendapat kehidupan atau pekerjaan di sini,” ujarnya.

Ditanya sama ada sindiket tersebut turut mempunyai ejen yang beroperasi di negara ini, Adzli tidak menolak kemungkinan itu dan menyatakan siasatan menyeluruh akan dilakukan.

Sementara itu, beliau mengesahkan bedah siasat yang sudah dilakukan terhadap 16 mayat PATI terlibat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mendapati kesemua mati akibat lemas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×