ALOR SETAR: Kegigihan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cacat penglihatan akibat glaukoma untuk mengulang kaji pelajaran membuktikan kecekalan luar biasanya menghadapi peperiksaan itu tidak lama lagi.
Muhammad Akmal Mohamad Zaili, 19, calon tunggal kategori OKU penglihatan di Kedah ini belajar menggunakan mesin braille dan rakaman audio hasil persediaan awal sepanjang mengikuti pengajian di aliran perdana.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik dan anak kedua daripada empat beradik itu menyedari dia memerlukan masa lebih panjang berbanding rakan-rakan lain, lalu menumpukan perhatian kepada empat subjek utama iaitu Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Matematik.
“Saya belajar di kelas perdana jadi cara saya adalah rekod suara cikgu sedang mengajar dan dengar balik selepas pulang ke asrama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Akmal disahkan mengalami kerosakan saraf pada usia 11 tahun yang pada awalnya disangka sebagai hanya rabun biasa.
“Bila disahkan OKU penglihatan, memang susah. Saya sedih sebab tidak boleh lihat macam orang normal. Tapi lama-kelamaan sudah terbiasa dan boleh terima kenyataan yang saya dah tidak boleh lihat,” katanya.
Pelajar asal dari Tanjung Dawai itu memiliki sahabat karib, Ahmad Mui’zz Abd. Wahab, 17, yang setia menemaninya sepanjang sesi persekolahan termasuk membaca bahan pelajaran yang tiada dalam braille.
Ahmad Mui’zz berkata, dia tergerak hati membantu Muhammad Akmal sejak kali pertama mereka bertemu ketika di tingkatan tiga sekolah itu.
“Kalau ikut kata hati saya rasa ini sebab takdir sebab saya tidak pernah kenal Akmal sehingga saya masuk tingkatan tiga, masa itu baru kami berkenalan dan saya juga mudah rasa simpati maka saya tergerak hati untuk membantunya sehingga lah sekarang kami bersahabat baik.
“Jika ada kelas yang Akmal tak sempat sertai saya akan beri sinopsis mengenai pembelajaran pada hari itu, rutin kami biasanya akan dengar video pembelajaran bersama-sama atau menyiapkan kerja sekolah yang cikgu bagi,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani berkata, pihak sekolah membuat persediaan lengkap untuk membolehkan Muhammad Akmal menduduki SPM dengan lancar termasuk mendapatkan khidmat jurubaca untuknya.
“Saya rasa Akmal telah bersedia sepenuhnya dan sekolah pun telah membuat persiapan seperti berhubung dengan Bahagian peperiksaan JPN Kedah untuk penambahan masa calon OKU antara sejam hingga sejam setengah mengikut subjek,” katanya.-UTUSAN.










